Pulau Pinang pilihan St. Jude Medical

Admin
DANIEL Starks (tiga dari kanan) menyampaikan plat penghargaan kepada Lim Guan Eng (dua dari kiri) pada majlis perasmian St. Jude Medical (M) Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.
DANIEL Starks (tiga dari kanan) menyampaikan plat penghargaan kepada Lim Guan Eng (dua dari kiri) pada majlis perasmian St. Jude Medical (M) Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.

BAYAN LEPAS – St. Jude Medical (M) Sdn. Bhd. merupakan salah satu pengeluar peranti perubatan kardiovaskular ternama di dunia dengan nilai pelaburan sebanyak USD$65 juta atau RM165 juta ke atas fasiliti pembuatan terbaru syarikat berkenaan di Zon Kawasan Perindustrian Bebas Bayan Lepas, yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, di sini, baru-baru ini.

Pembukaan fasiliti St. Jude Medical bukan sahaja mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan pelaburan Pulau Pinang malah turut membuka peluang pekerjaan kepada warga Pulau Pinang. Terkini, St. Jude Medical mempunyai 150 tenaga kerja dan akan menawarkan lebih daripada 100 peluang pekerjaan sepanjang tahun 2011 ini.

Selain itu, St. Jude Medical turut bercadang untuk melabur sejumlah USD$300 juta atau RM900 juta bagi tujuan infrastruktur, saham modal dan penyediaan peluang pekerjaan untuk tempoh lima tahun mendatang. Kewujudan Pusat Latihan Pakar Perubatan St. Jude bukan sahaja dibina untuk melatih tenaga professional malah turut menyediakan tenaga kerja yang mahir dan berintegriti dalam pelaksanaan teknologi perubatan terkini.

Dalam majlis perasmian tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng turut menekankan tujuh kriteria penentu kejayaan iaitu urustadbir yang baik, kewujudan tenaga kerja mahir, kewujudan bandaraya yang membolehkan perkembangan kreativiti dan inovasi, perlindungan harta intelek, kewujudan hub logistik yang unggul, pengurusan rantaian bekalan yang kompeten dan kewujudan kreativiti dan inovasi dalam sains dan teknologi.

Hadir sama pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif St. Jude Medical, Daniel Starks dan Pengarah Urusan St. Jude Medical, Torbjorn Anderson.

Untuk sebarang maklumat lanjut sila layari http://www.sjm.com