GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan untuk mencapai sebanyak 40 peratus mod pengangkutan awam menjelang tahun 2031.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sasaran tersebut mampu dicapai dengan beroperasinya Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang akan meningkatkan kesalinghubungan sistem pengangkutan awam di negeri ini.
“Segala usaha dalam memperkasakan ekosistem pengangkutan awam di Pulau Pinang akan diteruskan dan kekal menjadi komitmen utama Kerajaan Negeri dalam menambah baik jaringan pengangkutan negeri ini.
“Sebagai langkah ke hadapan, Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif yang menyokong sistem pengangkutan lebih efisien, mesra alam dan inklusif.
“Antara usaha yang sedang giat dijalankan untuk memperluas jaringan bas percuma dan laluan bas khusus, terutamanya di kawasan tumpuan penduduk serta luar bandar, bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam dapat dinikmati secara menyeluruh serta adil oleh semua lapisan masyarakat.
“Malah, penggunaan mod pengangkutan rendah karbon seperti berbasikal serta berjalan kaki, melalui penyediaan infrastruktur sokongan yang lebih selamat dan selesa juga akan diteruskan,” katanya semasa ketika merasmikan Hari Pengangkutan Pulau Pinang 2025 dekat Komtar di sini semalam.
Hadir sama, Exco Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Long.



Kon Yeow berkata, agenda memajukan pengangkutan awam bukan hanya terletak di bahu satu pihak, sebaliknya memerlukan kerjasama berbilang agensi serta keterlibatan semua lapisan masyarakat.
“Kita perlu melakukan apa yang peting supaya kita mampu mencapai matlamat yang kita idam-idamkan.
“Dengan ini, adalah menjadi harapan saya agar semua perbincangan yang berlangsung sempena penganjuran Hari Pengangkutan 2025, termasuk sesi-sesi dialog bersama-sama komuniti serta pameran teknologi akan menjadi pemangkin kepada idea-idea baharu yang segar dan realistik,” katanya.
Sementara itu, Zairil berkata bahawa kemajuan dalam sistem pengangkutan bukan sekadar soal pembinaan fizikal, tetapi juga perubahan minda, budaya dan keutamaan masyarakat.
“Maka itu, usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam perlu disertai dengan pendekatan pendidikan, penglibatan komuniti dan penyediaan infrastruktur yang inklusif serta selamat.
“Justeru, penganjuran Hari Pengangkutan 2025 mampu menjadi pentas untuk kita melihat sendiri pelbagai inisiatif dan inovasi, sambil memberi ruang kepada rakyat untuk turut menyumbang pandangan selaras dengan prinsip ‘pengangkutan untuk semua’,” ujarnya.
Terdahulu, Kon Yeow dengan diringi Zairil dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turut meninjau reruai yang disediakan oleh beberapa pempamer termasuk SRS Consortium Sdn. Bhd,; Silicon Island Development (SID) Sdn. Bhd.; Penang Port Sdn. Bhd.; Penang Smart Parking; Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan banyak lagi.
Turut berlangsung sempena program tersebut adalah forum yang membincangkan mengenai ‘Future of Penang Transportation & Challenges of Its Implementation’ yang menampilkan Zairil sebagai panel utama.
Forum tersebut menjadi medan dialog terbuka antara pihak berautoriti dan komuniti dalam membina pemahaman yang lebih jelas tentang hala tuju projek-projek besar seperti Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), serta impaknya terhadap ekonomi dan kualiti hidup rakyat.
Dalam sesi diskusi kira-kira 75 minit itu, Zairil berkongsi mengenai wawasan strategik dan pendekatan jangka masa panjang Kerajaan Negeri dalam menangani isu mobiliti, kesesakan lalu lintas, dan keperluan infrastruktur yang lestari serta cabaran pelaksanaannya.
Pengarah Urusan APAC, Arup, TC Chew; Pengarah Gamuda Engineering Berhad, Dato’ Szeto Wai Loong; Ketua Bas Persiaran, Prasarana Malaysia Berhad, P. Premkumar dan Pakar Pembangunan Pasaran Asian Development Bank, Isabelle Chauche antara panel lain yang turut hadir.
Selain itu, satu forum sesi kedua yang berlangsung hari ini pula menampilkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik sebagai menjadi panel utama.
Dalam hujahannya, Choon Aik menegaskan bahawa aspek perancangan laluan motosikal perlu diberikan perhatian serius dalam dasar pengangkutan negeri, memandangkan motosikal kekal sebagai antara mod pengangkutan utama bagi rakyat Pulau Pinang.
Menurutnya, pelan perancangan bandar dan pengangkutan sedia ada lebih cenderung menumpukan kepada laluan kenderaan dan basikal, sedangkan perancangan khusus bagi penunggang motosikal masih longgar.
Justeru, beliau mencadangkan agar laluan khas motosikal dirancang dalam pembangunan baharu serta ditetapkan melalui pelan guna tanah.
Beberapa lagi panel ialah Pengarah Pusat Kejuruteraan dan Persekitaran Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Ts. Dr. Rizati Hamidun; Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Lilis Surienty; Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, DSP Donny Anak John Jubang dan Pengarah Broadcom Global Distribution Hub, Dr. Sazani Shafie.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS