Perluas rancangan pengangkutan negeri, ambil kira penunggang motosikal – ADUN

Admin
feature image yb goh

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik menyatakan bahawa aspek perancangan laluan motosikal harus diberikan perhatian serius dalam dasar pengangkutan negeri, memandangkan motosikal kekal sebagai antara mod pengangkutan utama bagi rakyat Pulau Pinang.

 

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel utama dalam sesi forum bertajuk “Future of Penang Transportation & Challenges of Its Implementation” sempena Hari Pengangkutan Pulau Pinang 2025 yang berlangsung di Komtar, hari ini.

 

Menurutnya, pelan perancangan bandar dan pengangkutan sedia ada lebih cenderung menumpukan kepada laluan kenderaan dan basikal, sedangkan perancangan khusus bagi penunggang motosikal masih longgar.

 

7dcef06c 5ce0 497e 91fd b7ccedaa20a5
GOH Choon Aik (tengah) sebagai panel utama pada forum berkaitan di sini.

 

Kita selalu tertinggal motosikal dalam pelan perancangan jalan raya dan pengangkutan awam.

 

“Jururancang bandar dan jurutera trafik lazimnya lebih fokus kepada laluan kenderaan biasa dan berat sahaja.

 

“(Walhal) motosikal adalah salah satu mod pengangkutan utama di negeri Pulau Pinang.

 

“Malangnya, motosikal masih belum diberi ruang khusus dalam sistem jalan sedia ada,” katanya ketika ditemui selepas sesi forum tersebut.

 

Maka, beliau mencadangkan agar laluan khas motosikal dirancang dalam pembangunan baharu serta ditetapkan melalui pelan guna tanah.

 

Jelas Choon Aik lagi, sistem jalan raya di negeri ini masih banyak berasaskan model negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura yang kurang sesuai dengan konteks penggunaan motosikal secara meluas.

 

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai usaha penambahbaikan sistem pengangkutan awam, beliau menyarankan supaya lebih banyak bas disediakan dengan perkhidmatan yang selesa dan menepati masa.

 

“Orang ramai hanya akan guna bas jika ia mudah diakses, boleh dipercayai dan selesa.

 

“Kita perlukan penambahan bas agar tidak hanya bergantung kepada bas yang sedia ada sahaja,” jelasnya.

 

Choon Aik walau bagaimanapun, optimis bahawa pelaksanaan projek transit aliran ringan (LRT) dalam tempoh lima tahun akan datang serta perkhidmatan pengangkutan pintar seperti Rapid On Demand (ROD) mampu menjadi alternatif kepada penggunaan motosikal dan kereta, sekiranya dilaksanakan secara holistik dan inklusif.

 

Pengarah Pusat Kejuruteraan dan Persekitaran Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Ts. Dr. Rizati Hamidun; Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Lilis Surienty; Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, DSP Donny Anak John Jubang dan Pengarah Broadcom Global Distribution Hub, Dr. Sazani Shafie antara yang hadir sebagai panel forum berkaitan di sini.

 

Teks & Gambar: M. DANESWARAN