Pulau Pinang wujudkan garis panduan tapak proses sisa bahan binaan

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang hari ini selangkah lagi ke hadapan berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri-negeri lain dengan mewujudkan garis panduan tapak pemprosesan sisa-sisa bahan binaan bagi tujuan kitar semula, sejajar dengan Visi Penang2030.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, tujuan garis panduan tersebut diwujudkan antara lain demi menjemput pihak swasta yang berminat menghantar permintaan untuk cadangan (RFP) kepada kedua-dua PBT negeri iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Ketika ini, cadangan tapak (pemprosesan sisa-sisa bahan binaan bagi tujuan kitar semula) untuk kawasan Seberang Perai adalah di Ampang Jajar…dengan keluasan 60 ekar.

“Teknologi (memproses sisa bahan binaan) yang lama mungkin memerlukan tanah yang lebih luas, namun, penggunaan teknologi terkini dengan tanah (seluas 60 ekar) ini boleh dilakukan lebih (kerja-kerja memproses sisa bahan binaan untuk tujuan kitar semula).

“Iklan untuk memanggil pihak swasta menghantar RFP telahpun dibuat pada bulan April ini…sasaran kedua-dua PBT untuk melantik operator baharu adalah pada tahun 2022,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dalam sidang media di Hotel Ixora, Seberang Jaya pada 9 April 2021.

Turut serta, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmud.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Jagdeep memberitahu bahawa di bahagian Pulau, jumlah keseluruhan semua jenis sisa yang dipungut tiap-tiap hari bagi tahun 2020 direkodkan kira-kira 970 tan, dengan 235 tan per hari adalah sisa bahan binaan.

Sementara di bahagian Seberang Perai pula, beliau menjelaskan bahawa jumlah keseluruhan semua jenis sisa yang dipungut tiap-tiap hari bagi tahun 2020 direkodkan kira-kira 1,515 tan, dengan 164 tan per hari adalah sisa bahan binaan.

“Walaupun jumlah pungutan semua jenis sisa di bahagian Pulau adalah lebih rendah (berbanding di bahagian Seberang Perai), tetapi jumlah pungutan sisa bahan binaan di bahagian Pulau adalah lebih tinggi (berbanding di bahagian Seberang Perai).

“Angka ini mungkin kerana tahap projek pembinaan di bahagian Pulau adalah begitu tinggi (berbanding di bahagian Seberang Perai),” jelasnya lagi.

Sebelum pada itu, semasa menyampaikan ucapan perasmian bengkel tersebut, Jagdeep merakamkan penghargaan atas rekod 55.91 peratus kadar kitar semula bagi tahun 2020 di bahagian Seberang Perai merupakan pencapaian tertinggi di negara ini.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa kadar peratusan kitar semula di bahagian Pulau pada tahun lepas direkodkan sebanyak 31.6 peratus.

Lewat petang ini, Boon Poh yang juga Naib Pengerusi Penang Green Council (PGC) dijadualkan menyempurnakan acara perasmian penutup Bengkel Penyediaan Garis Panduan Tapak Pemprosesan Sisa-Sisa Bahan Binaan Bagi Tujuan Kitar Semula, yang julung-julung kali dianjurkan di tanah air ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR