GEORGE TOWN – Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Tikus berpotensi besar untuk diangkat sebagai hab nomad digital terkemuka di Malaysia menerusi pelaksanaan pelan pembangunan GLOW (Green, Liveable, Optimised Walkability).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng berkata, Pulau Pinang mempunyai kelebihan untuk menarik golongan profesional antarabangsa yang bekerja secara jarak jauh atau nomad digital, susulan pengiktirafan dalam satu kajian antarabangsa pada Oktober 2026.
Menurut beliau, kajian oleh agensi pemasaran digital Click Intelligence yang melibatkan 26 bandar di 15 negara meletakkan Pulau Pinang di kedudukan pertama sebagai destinasi paling mesra bajet untuk nomad digital, berdasarkan kos sara hidup, kesalinghubungan internet, keselamatan dan kemudahan visa.
Beliau turut merujuk tinjauan akhir tahun 2023 oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang merekodkan purata perbelanjaan nomad digital di Malaysia sebanyak AS$1,912 sebulan, khususnya bagi makanan dan penginapan, diikuti perbelanjaan berkaitan perjalanan serta pelancongan.
“Kehadiran mereka bukan sahaja menyuntik ekonomi setempat, malah membuka ruang bimbingan serta peluang pasaran antarabangsa kepada usahawan tempatan.
“Pulau Tikus mempunyai kelebihan tersendiri seperti masyarakat berbilang kaum, penggunaan bahasa Inggeris yang meluas, pelbagai pilihan makanan, kemudahan kesihatan serta lokasi strategik berhampiran Gurney, Taman Botani dan George Town. Namun, potensi ini memerlukan sokongan kemudahan bandar yang lebih mantap,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
Bagi menyokong wawasan tersebut, Sze Zeng turut mencadangkan supaya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melaksanakan audit laluan pejalan kaki dalam tempoh tiga bulan bagi mengenal pasti kerosakan, kawasan yang kurang pencahayaan serta lintasan berisiko tinggi.
Menurutnya, dapatan audit itu boleh dijadikan asas untuk membangunkan rangkaian laluan pejalan kaki yang selamat dan saling berhubung antara kawasan perumahan, pusat perniagaan, kemudahan kesihatan serta perhentian bas.
Selain itu, beliau mencadangkan pembinaan laluan pejalan kaki baharu yang menghubungkan Jalan Macalister, Jalan Perak, Jalan Burma, Jalan Codrington dan Jalan Peel.
Turut dicadangkan oleh beliau adalah jejantas mesra warga emas serta orang kurang upaya (OKU) di Jalan Kelawei, Persiaran Gurney dan Jalan Burma.
“Pelan GLOW ini turut merangkumi penanaman pokok teduhan, penaiktarafan perhentian bas serta peluasan akses internet berkelajuan tinggi di ruang kerja bersama (co-working space) dengan matlamat membolehkan penduduk dan nomad digital bergerak dengan selesa dalam lingkungan 10 hingga 15 minit dari kediaman.
“Justeru, saya menggesa Kerajaan Negeri dan MBPP merangka pelan tindakan lengkap berserta jadual pelaksanaan serta sasaran khusus, selain memberi keutamaan peruntukan kepada usaha penghijauan bandar dan penyediaan infrastruktur pejalan kaki,” jelasnya.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT