Pulih semula gerai Teluk Bahang – TKM1

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

TELUK BAHANG – Pembinaan semula gerai makan Sakina Zaffreel, 54, sesegera mungkin di atas tanah Kerajaan Negeri berhampiran tapak asal premis haram itu diputuskan atas budi bicara pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Selain membuat pengesahan tersebut kepada pihak media, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, pihaknya akan mengesyorkan kepada Pejabat Tanah Daerah Barat Daya supaya membina pusat penjaja sementara (PPS) di atas tanah sama milik Kerajaan Negeri.

“Tindakan pejabat tanah daerah benar-benar ikut prosedur kerana lima premis ini dibina atas tanah rizab pantai secara salah.

“Memandangkan gerai ini satu- satunya sumber rezeki Puan Sakina (Sakina), satu gerai ini sahaja sah akan dipulih dengan peruntukan RM2,000 daripada Kerajaan Negeri.

“(Manakala,) 10 kiosk itu akan saya cadang untuk dipertimbang pejabat tanah daerah supaya aktiviti penjaja boleh kekal dijalankan oleh mereka terbabit mengikut peraturan, bukannya secara salah,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak di sini baru-baru ini.

Penolong Pegawai Daerah Barat Daya, Abu Hassan Omar serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Teluk Bahang, Mohd. Amin Nordin dan anggotanya, Mohd. Ridzuan Zaid turut menyertai Mohd. Rashid melawat lokasi kejadian dekat Pantai Hujung Batu di sini.

Sakina yang ditemui kemudian melahirkan rasa bersyukur atas budi bicara Kerajaan Negeri terhadap beliau sekeluarga. “Dalam bulan puasa ini (Ramadan), saya akan bekerja di Bazaar Ramadan Batu Feringghi … macam mana pun saya mesti cari duit untuk sara keluarga dan bayar balik pinjaman TEKUN RM5,000 ikut jadual.

“Walaupun gerai makan saya ini dibina atas tanah rizab pantai, tapi terima kasih banyak-banyak lah atas budi bicara bina balik (gerai sementara) ini,” ujar Sakina sambil melahirkan rasa sedih dan terharu.

N. Rajeswary, 40, yang ditemui berasingan turut berharap Kerajaan Negeri dapat segera membina PPS supaya beliau sekeluarga pun boleh kembali menjalankan aktiviti perniagaan batik kelak.

“Kalau boleh cadangan membina kiosk ini pun boleh disegerakan juga, sekurang- kurangnya saya dan peniaga lain pun boleh kembali ‘cari makan’,” respons beliau.

Difahamkan, premis perniagaan sementara ini dibina di atas tanah rizab pantai bernombor lot 734 mukim 2 pada sekitar tahun 1989, iaitu semasa Hotel Mutiara dekat sini masih lagi meriah dibuka dan dikunjungi pelancong.

Semasa Hotel Mutiara ditutup sekitar tahun 2005, gerai makan Sakinah sahaja konsisten dibuka tiap-tiap hari, manakala, empat gerai lain jarang beroperasi lagi.

Pejabat tanah daerah direkodkan dua kali memberi notis pengosongan kepada lima ‘premis haram’ tersebut pada tarikh 10 Oktober 2012 dan 9 April lepas atas alasan struktur binaan tidak sah berkenaan didirikan di atas tanah rizab pantai.

Susulan itu, pejabat tanah daerah menguatkuasa undang- undang dengan merobohkan kelima-lima struktur fizikal premis perniagaan tersebut hatta menggamit perhatian banyak pihak, sebelum menerima campur tangan lanjut Mohd. Rashid.