Pusat Dialisis CAT Pulau Pinang sambut ulang tahun ke-10

Admin
img 20240429 wa0031

PUSAT Dialisis CAT Negeri Pulau Pinang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertujuan memberikan kemudahan rawatan khusus kepada pesakit buah pinggang kurang berkemampuan di negeri ini.

Terletak di Kompleks Pasar Awam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Balik Pulau, pusat berkaitan telah memainkan peranan penting dalam memastikan mereka yang memerlukan menerima rawatan sewajarnya pada kos berpatutan.

Baru-baru ini, sempena sambutan ulang tahun ke-10 Pusat Dialisis CAT Pulau Pinang, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar AHMAD ADIL MUHAMAD berkesempatan mengaturkan wawancara khas dengan Ketua Jururawat Senior pusat dialisis berkenaan, LIM CHYUN HUEY

Menurut Chyun Huey, sejak 10 tahun lalu, pusat dialisis tersebut telah berjaya menyembuhkan seramai lebih 300 pesakit.

Pesakit buah pinggang secara amnya perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu selama tempoh empat jam.

“Di sini, waktu rawatan terbahagi kepada tiga syif yang bermula pada jam 6.30 pagi sehingga 8 malam, dan kebanyakan pesakit juga dari luar daerah (Barat Daya) serta bukan kawasan sekitar,” ujarnya memulakan bicara pada sesi wawancara pada 24 April lalu.

Cakna kebajikan

Mengulas lanjut, Chyun Huey memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa cakna akan kebajikan rakyat dan keperluan di pusat berkenaan.

“Kerajaan Negeri turut memperuntukkan kos lebih RM1.4 juta untuk meringankan beban pesakit yang tidak berkemampuan.

Sebagai makluman, kos rawatan bagi seorang individu yang mengidap penyakit buah pinggang agak tinggi, apatah lagi jika mereka (pesakit dan waris) tidak tahu cara untuk mendapat saluran bantuan yang betul.

Seperti di sini, pesakit hanya perlu membayar RM10 bagi setiap rawatan yang diterima kerana pusat dialisis ini telah menerima subsidi daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.

img 20240429 wa0030
PEMANTAUAN rapi yang dijalankan.

Pada peringkat awal, kata Chyun Huey pusat dialisis tersebut hanya boleh merawat dua pesakit dalam satu-satu masa.

“Kini dengan adanya mesin dialisis sebanyak 14 unit, lebih ramai pesakit boleh dirawat pada satu-satu masa mengikut sesi janji temu yang telah diaturkan,” katanya lagi.

Mengikut Chyun Huey, sekiranya seseorang individu telah dianalisis memerlukan rawatan dialisis dan buntu untuk mendapatkan pembiayaan, mereka boleh hadir ke pusat tersebut.

“Ada pesakit yang tidak tahu cara memohon bantuan untuk membiayai kos rawatan tetapi ada juga yang telah memohon bantuan rawatan melalui saluran lain yang mana kesudahannya tidak menepati syarat atau tidak layak (mendapatkan rawatan) di sini,” ulasnya lanjut.

Tabiat pemakanan

Bercerita mengenai punca kegagalan buah pinggang, Chyun Huey memberitahu bahawa ia bergantung terhadap tabiat pemakanan seseorang.

“Selain tabiat pemakanan, penyakit lain seperti darah tinggi (hypertension) dan diabetes juga boleh menjadi punca kegagalan buah pinggang.

“Saya ingin menegaskan mencegah lebih baik daripada mengubati, oleh itu pemeriksaan kesihatan wajar dilakukan setiap tahun termasuk ujian darah bagi menentukan anda berada dalam kumpulan berisiko tinggi atau tidak.

“Jika terdapat penyakit yang berjaya dikesan awal, pesakit boleh mendapatkan rawatan dengan segera tanpa perlu menjalani rawatan hingga ke peringkat dialisis.

Sekiranya terjadi, rawatan melalui dialisis ini juga boleh memanjangkan jangka hayat pesakit jika pesakit benar-benar berdisiplin menjaga pemakanan dan hadir mendapat rawatan mengikut waktu ditetapkan,” katanya yang turut berkongsi pengalaman menjaga pesakit tidak kira sama ada tua mahupun muda sepanjang berkhidmat di Pusat Dialisis CAT Pulau Pinang ini.

 

Fasiliti

Difahamkan, selain usahasama dengan syarikat pembekal peralatan perubatanB. Braun Medical Industry (B Braun) yang turut menaja mesin dialisis, pusat berkenaan kini mempunyai seramai 14 kakitangan perubatan yang bertugas enam hari seminggu.

Sebelum mengakhiri sesi wawancara, Chyun Huey sempat berkongsi cabaran dan harapannya dalam mengoptimumkan perkhidmatan serta mengendalikan keseluruhan pusat secara digital. 

Tugas menguruskan pusat dialisis ini bukan sesuatu yang mudah, jururawat di sini juga dilatih terlebih dahulu untuk menggunakan mesin dialisis serta tahu untuk memberi sokongan terhadap pesakit yang memerlukan khidmat nasihat bagi menjamin bukan sahaja kesihatan fizikal, bahkan juga mental.

Ruangan di pusat dialisis ini juga agak terhad dan pasukan kami di sini mencuba yang terbaik memuatkan pesakit mengikut kapasiti ruang sedia ada, oleh itu menjawab tentang perancangan masa hadapan, sudah tentu saya ingin (pusat dialisis) ini ditambah baik dengan ruang lebih luas dengan menambah unit mesin dialisis agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit.

img 20240429 wa0029
FASILITI mesin yang ditempatkan.

Walaupun perancangan tersebut akan memakan sedikit masa dek perlu mengikut ketetapan prosedur dan juga kelulusan KKM, saya berharap dengan penambahan mesin dialisis sertaruang dapat memberi manfaat serta keselesaan kepada pesakit kelak,” katanya menutup bicara.