Pusat Komuniti Bukit Bendera untuk semua

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

PULAU TIKUS – Kewujudan Pusat Komuniti Bukit Bendera bakal mengubah perspektif dan melangkaui stereotaip masyarakat setempat khususnya dalam penyampaian perkhidmatan sedia ada kini, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari di sini baru-baru ini.

“Sebelum ini, kita pernah mempunyai pusat khidmat masyarakat, tetapi kali ini kita mengambil pendekatan mengeluarkan perkataan ‘khidmat’ sebab kita tidak mahu pusat ini menjadi tempat aduan semata-mata.

“Dengan penggunaan perkataan pusat komuniti, pendekatan bukan sahaja menyediakan perkhidmatan, tetapi juga lebih kepada aktiviti kemasyarakatan bersama masyarakat setempat yang lebih mesra dan mampu mengeratkan hubungan komuniti,” ucapnya sejurus selepas Majlis Perasmian Pusat Komuniti Parlimen Bukit Bendera di sini baru-baru ini.

Beralamat di:
Pusat Khidmat Komuniti Parlimen Bukit Bendera, 11-A Medan Maktab, 10350 Pulau Pinang, orang ramai boleh juga menghubungi melalui talian tetap 04 – 228 5298.

Hadir menyempurnakan perasmian ialah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ditemani Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bungah, Cheah Kah Peng, Pegawai Daerah Daerah Timur Laut, Azizi Zakaria dan Ahli-ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Tambah Zairil, antara lain kewujudan pusat komuniti tersebut adalah untuk menghargai pengundi-pengundi yang membolehkannya memperoleh 32,000 majoriti pada Pilihanraya Umum yang lalu. “Ini (pusat komuniti) sebagai tanda menghargai pengundi-pengundi saya dan juga memberi peluang untuk mereka berinteraksi secara terus dengan saya di pusat komuniti ini,” jelas beliau.

Tambah Zairil, beliau dalam pada itu berhasrat untuk memartabatkan perkembangan pendidikan di Parlimen Bukit Bendera dan akan mengadakan beberapa siri kelas interaktif dalam usaha meningkatan mutu pendidikan.

“Tumpuan akan diberikan pada peningkatan mutu berbahasa Inggeris memandangkan ia (Bahasa Inggeris) memainkan peranan yang besar dewasa ini.

“Sungguhpun Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan negara, namun ianya tidak dipinggirkan,” ujarnya.