KM harap Fiesta Santai Rakyat dekatkan KN, komuniti

BUTTERWORTH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri merasmikan penutupan Fiesta Santai Rakyat 2013 peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di perkarangan Flat Jalan Mohd. Saad di sini baru-baru ini.

Beliau berharap penganjuran keraian masyarakat yang diadakan di kelima-lima daerah itu dapat mendekatkan rakyat dengan kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Program ini diadakan di bawah MMK Jawatankuasa Perhubungan Kemasyarakatan yang dipengerusikan oleh Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I).

“Saya berharap pelbagai inisiatif yang diadakan sepanjang fiesta ini dapat mendekatkan pemimpin bersama rakyat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan di depan lebih hampir 2,000 hadirin.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan), Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) dan Saodah Nawawi (Pegawai Daerah SPU) turut hadir pada majlis tersebut.

Sebelum itu, Mohd. Rashid mengajak rakyat supaya menguatkan semangat keharmonian kaum serta menolak semangat asabiah yang sengaja ditajamkan oleh pihak tertentu belakangan ini.

“Prasangka sesama kaum yang dicetuskan oleh pihak tertentu sangat merugikan Pulau Pinang.

“Tetapi, toleransi sertai semangat harmoni dapat terus menguatkan jati diri rakyat untuk bersama-sama Kerajaan Negeri memajukan negeri ini,” jelasnya.

Mohd. Rashid turut meminta pemimpin setempat, khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) supaya lebih kerap menganjurkan program-program yang boleh menyemarakkan lagi toleransi kaum.

Sepanjang fiesta itu, difahamkan pelbagai program diadakan untuk menghargai komuniti, khususnya golongan wanita dan kanak-kanak.

Pemeriksaan kesihatan percuma, sukan rakyat, pembuatan kraf tangan untuk wanita, bantuan persekolahan, cabutan bertuah dan kenduri rakyat merupakan antara program menarik.

Serentak dengan fiesta itu, turut diadakan majlis sumbangan RM1,000 kepada waris warga emas yang meninggal dunia serta majlis pameran perdana oleh beberapa agensi kerajaan.