Pusat punyai kuasa tentukan harga siling rumah – Exco

DATUK KERAMAT – Menteri dari Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan dibidas ekoran kenyataan beliau yang menyatakan bahawa Kerajaan Pusat tidak mempunyai kuasa mengawal pembinaan rumah mahal di Malaysia.

Exco Perancangan Bandar dan Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo sebagai mengulas berkata, selain menafikan kuasa yang ada pada Kerajaan Pusat, Abdul Rahman turut memberi alasan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan bukannya (negara) komunis dalam memaksa pemaju membina rumah ‘murah’.

“Saya sebagai Exco bertanggungjawab dalam hal ini (perumahan), saya ingin membidas sekeras-kerasnya kenyataan Abdul Rahman.

“Jangan jadikan alasan negara demokrasi dengan menidakkan tanggungjawab dalam menyediakan rumah kos rendah (KR), sederhana rendah (KSR) dan mampu milik (MM) kepada rakyat.

“Harga rumah ditentukan berdasarkan pasaran semasa, namun Kerajaan Pusat masih punyai kuasa dalam menentukan harga siling.

“Jika beliau (Abdul Rahman) ingin melihat contoh, beliau (Abdul Rahman) boleh datang ke Pulau Pinang dan kita (Kerajaan Negeri) akan tunjukkan cara-caranya (bagaimana menyediakan perumahan untuk rakyat pelbagai lapisan),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kaki palsu kepada salah seorang penduduk di sini baru-baru ini.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, dalam pada itu menuntut supaya Abdul Rahman memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalannya menggalas tanggungjawab sebagai menteri berwajib dalam menyediakan rumah untuk rakyat.

Tidak seperti Pulau Pinang, Jagdeep memberitahu, Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan isu penyediaan rumah sebagai keutamaan dengan mengambil pelbagai inisiatif, antaranya kerjasama antara kerajaan dengan pemaju swasta, memperkenalkan moratorium dalam kaedah ‘penyejukkan’ harga rumah dan menjadikan pembekalan rumah mampu milik di kelima-lima daerah sebagai kenyataan.

“Saya berharap Abdul Rahman dan Kerajaan Pusat perlu lebih teliti dan segera mengambil langkah-langkah wajar bagi menangani kenaikan harga rumah di Malaysia demi kepentingan rakyat,” ujar beliau.

}