PWM kutip dana bantu beli van tambahan OKU

Oleh: CHEAH JAY LOON
Gambar : CHAN LILIAN

GEORGE TOWN – Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM) berhasrat membantu sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, Eden Handicap Service Centre Berhad (Eden Handicap) membeli sebuah van dilengkapi dengan tanjakan bagi memudahkan pergerakan orang kurang upaya (OKU) di pusat tersebut.

Presidennya, Betty Chew Gek Cheng berkata, kemudahan van dilengkapi tanjakan itu bukan sahaja dapat membantu pusat berkenaan menyediakan pengangkutan percuma kepada OKU, tetapi juga kepada mereka yang terpaksa berkerusi roda.

“Kami (PWM) memahami keperluan bagi Eden Handicap menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma kepada golongan OKU khususnya, tambahan pula, permintaan terhadap perkhidmatan ini amat menggalakkan dan pusat ini hanya mempunyai dua buah van sahaja kini.

“Jadi, kami (PWM) mengambil keputusan untuk mengumpul dana sebanyak RM150,000 bagi membantu Eden Handicap memiliki van tambahan yang tidak hanya digunakan pusat ini sahaja, tetapi juga membantu golongan OKU lain yang memerlukan bantuan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Eden Handicap di Jalan Masjid Negeri di sini baru-baru ini.

Hadir sama, isteri kepada Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Tan Lean Kee serta beberapa ahli PWM lain. Gek Cheng kemudiannya meluangkan masa makan tengahari dan berinteraksi bersama-sama pelatih serta kanak-kanak di pusat berkenaan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Eden Handicap, Bertie Tye turut memberi taklimat ringkas berkaitan pusat tersebut serta perkhidmatan pengangkutan percuma yang ditawarkan kepada masyarakat tempatan khususnya golongan OKU.

Eden Handicap memerlukan dana bagi menambah lima van lagi untuk kegunaan pusat terbabit dan juga menawarkan perkhidmatan pengangkutan khas kepada OKU di seluruh Pulau Pinang.

PWM adalah sebuah organisasi untuk isteri-isteri wakil rakyat serta wakil-wakil rakyat wanita di Pulau Pinang.