KN usaha wujud kesamarataan tanpa prejudis OKU

GEORGE TOWN – Kebajikan dan hak orang kurang upaya (OKU) tidak pernah diabaikan, sebaliknya Kerajaan Negeri giat menumpukan pelbagai program kebajikan serta aktiviti kesihatan melibatkan golongan terbabit.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap keperluan dan kebajikan OKU di negeri ini supaya golongan terbabit mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dilakukan untuk membantu golongan OKU antaranya insentif tertentu melalui Program Penghargaan OKU dan penyediaan kemudahan-kemudahan asas yang mesra OKU.

“Pandangan masyarakat terhadap golongan OKU perlu diubah, oleh demikian, perlu ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa memberi peluang dan ruang serta berusaha mewujudkan kesamarataan tanpa prejudis terhadap golongan terbabit.

“Saya percaya dengan adanya sambutan dan aktiviti sebegini akan memberi peluang kepada masyarakat umum untuk lebih mengenali golongan OKU dan menjalinkan hubungan rapat bersama-sama mereka,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Orang Pekak Antarabangsa (HOPA) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2014 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Mohamad Sazali Shaari, Presiden Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA), Chung Kim Cheong, Prof. Dr. Tiun Ling Ta (Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi OKU Pulau Pinang) dan Datuk Saleena Yahaya-Isa (pendidik).

Dalam pada itu, Mohamad Sazali ketika ditemui berkata, pihaknya merancang untuk memperluaskan perkhidmatan jurubahasa isyarat di negara ini.

“Bahasa isyarat perlu diperluaskan bagi memudahkan komunikasi sama ada sesama sendiri ataupun dengan orang sekeliling kerana warga pekak suka bersembang dan bertukar-tukar fikiran.

“Malah, menerusi Akta OKU 2008, Bahasa Isyarat Malaysia telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi orang pekak di negara ini,” ujarnya yang turut berterima kasih atas sokongan dan keprihatinan Kerajaan Negeri .

Sambutan HOPA disambut pada minggu terakhir bulan September setiap tahun bersempena peristiwa bersejarah yang diperingati iaitu Kongres Orang Pekak Sedunia (WFD) yang pertama kali diadakan pada tahun 1951.

Bertemakan ‘Memperkasa Pelbagai Sumber Insani’, sambutan tahun ini turut dimeriahkan dengan ceramah kesedaran, kempen Bahasa Inggeris dan pameran bahasa isyarat yang digunakan di Malaysia.