Rakyat Pulau Pinang tolak gejala buli, kita akan lawan pembuli

Admin

GEORGE TOWN – Sebagai simbol solidariti kepada kempen gejala anti buli, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyertai acara jalan kaki Penang Against Bullying sejauh 3 kilometer (km) di Lebuh Pantai bersamasama 2,000 peserta.

Katanya, acara jalan kaki yang dianjurkan merupakan satu kempen solidariti untuk memberitahu bahawa masyarakat di Pulau Pinang menolak gejala buli.

“Kita masyarakat di Pulau Pinang tidak menerima gejala buli… kita nak timbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa negeri Pulau Pinang akan berlawan dengan pembuli-pembuli!

“Jangan jadi pembuli, kita akan lawan pembuli, itulah mesej yang kita (Kerajaan Negeri) nak sampaikan.

“Yang penting ialah kita kena mengenal pasti atau kalau rasa ada sesuatu yang tak kena, tak kira daripada pihak mana, PDRM (Polis Diraja Malaysia), Jabatan Pendidikan atau pun ibu bapa, pastikan kita ambil tindakan,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada majlis perasmian penganjuran berkaitan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Ghazali Derahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dr. Mohamad Farazi Johari; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang.

Tambah Guan Eng, sekolah dan rumah sewajarnya menjadi tempat yang paling selamat untuk anak-anak.

“Marilah kita tegaskan bahawa gejala buli adalah memalukan, dan kepada pembuli anda akan diambil tindakan,” ujarnya.