Ramadan gandakan ibadah, dakwah

SEBERANG JAYA – Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas baru-baru ini menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan kepada semua 212 masjid di negeri ini, sempena menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dalam ucapannya berkata, keberkatan bulan ibadah puasa ini seharusnya menuntut umat Islam agar menyebarkan rasa saling kasih sayang sesama manusia, termasuk ke atas golongan miskin serta mereka yang belum memeluk agama Islam.

“Berpuasa ini sangat dalam maksudnya, iaitu bukti ketakwaan kita kepada Allah serta memupuk kasih sayang kita dengan golongan fakir dan miskin yang selama ini terpaksa mengikat perut untuk meneruskan kehidupan.

“Sempena Ramadan kali ini, marilah kita menggandakan ibadah kita kepada Allah, serta mengamalkan kesederhanaan supaya Islam terus dilihat sebagai ‘Rahmat Ke Seluruh Alam’,” ucapnya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat pada Majlis Suoq Ramadan & Ihya’ Ramadan 2015 di perkarangan Masjid Daerah Seberang Perai Tengah dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dalam ucapannya turut menyeru umat Islam supaya menggiatkan usaha dakwah pada bulan Ramadan, selain menggandakan ibadah-ibadah sunat yang lain.

“Jangan kita hanya memburu ibadah solat tarawih secara berjemaah sematamata sehingga terlupa mengenai keutamaan dakwah khususnya kepada bukan Islam.

“Islam adalah agama Rahmatan Lil ‘Alamin (Rahmat Ke Seluruh Alam), maka wajiblah kita menjelaskan mengenai keindahan Islam baik kepada orang Islam mahupun (mereka yang) bukan Islam,” jelas Abdul Malik.

Difahamkan, Masjid Negeri Pulau Pinang menerima sumbangan RM5,000, manakala, kelima-lima masjid daerah masing-masing menerima RM2,000 untuk melaksanakan program kariah masjid, sepanjang bulan Ramadan ini.

Tiap-tiap masjid kariah pula turut diberi sumbangan sebanyak RM1,000. Pada majlis sama, Abdul Rahman turut menyerahkan papan logo “Penang Suoq Ramadan 2015” kepada beberapa badan korporat, antaranya Gama Supermarket & Departmental Store Sdn. Bhd., Sunway Carnival Mall, Kamdar Sdn. Bhd., Sunshine Square cawangan Bayan Baru, Farlim dan Bertam, Restoran De’Pauh Garden, Mydin Emporium, Mydin Hypermarket cawangan Bertam dan Bukit Jambul, Prangin Mall serta PDC Setia Urus Sdn. Bhd..

Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor dan Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) turut menyertai majlis rasmi tersebut.

}