Ratu Kebaya potensi produk pelancongan

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

PELBAGAI aksi peserta Pertandingan Ratu Kebaya 2011 baru-baru ini.
PELBAGAI aksi peserta Pertandingan Ratu Kebaya 2011 baru-baru ini.

BATU UBAN – Inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Badan Pengurusan Bersama
Kompleks Bukit Jambul dan Kerajaan Negeri untuk memartabatkan pakaian tradisional telah memperlihatkan hasil melalui penganjuran Pertandingan Ratu Kebaya 2011 di sini baru-baru ini.

Penganjuran kali kedua tersebut telah mencapai objektifnya apabila seramai 60 orang peserta dari berbilang kaum telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang diadakan pada 16 Oktober lalu.

ADUN Batu Uban, S.Raveentharan berharap berdasarkan sambutan yang diperoleh, beliau berharap penganjuran tersebut dapat dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan tahunan dan menjadi salah satu program serta produk pelancongan Pulau Pinang pada tahun hadapan.

“Kebaya wajar diketengahkan secara meluas kerana mampu menjana pendapatan lumayan buat peniaga dan juga sekaligus menjana ekonomi,” ujar beliau sambil berpendapat bahawa baju kebaya mempunyai ciri unik yang menjadi tarikan pelancong asing.

Manakala menurut Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Kompleks Bukit Jambul, Chan Kean Hin, beliau amat berterima kasih di atas inisiatif Kerajaan Negeri berhubung usahasama penganjuran program berkenaan.

“ Kebaya tidak seharusnya hanya dijadikan pakaian ketika menghadiri majlis keramaian, tetapi ia merupakan pakaian tradisional yang mempunyai nilai warisan dan keunikannya tersendiri. Justeru, ia wajar dipertahankan dan menjadi kebanggaan kita,” ujarnya.