Bajet 2012 : Bajet Pilihanraya, ‘gula-gula’ kepada rakyat – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Pembentangan Bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri (PM), Y.A.B. Datuk Sri Najib Tun Razak baru-baru ini jelas menunjukkan diskriminasi dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika ditemui dalam satu sidang media yang diadakan di Wisma Great Eastern sempena pembukaan pejabat baru The British Council, beliau sangat dukacita dengan pengumumam bajet oleh PM ekoran terdapat golongan yang tertindas dengan ‘gula-gula’ yang diberikan.

“Kita, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) nak tengok dalam kelapan-lapan pengumumam, berapa akan diberikan setiap tahun, kerana rakyat tak mahu dapat lima tahun sekali, rakyat nak dapat setahun sekali. Jangan bagi hanya pada pilihanraya.

“Kita (Kerajaan Negeri PR) juga agak hampa dengan pemberian kepada warga emas, mengapa hanya bagi jumlah yang begitu kecil? Kita cadangkan dalam belanjawan PR supaya bagi RM1,000 setiap tahun.

Kita ingat PM sudah dengar, akhirnya cuma bagi RM1 saja, iaitu bagi mengecualikan mereka daripada membayar yuran pesakit luar di hospital-hospital kerajaan. Ini tidak patut dan tidak adil untuk warga emas,” ujar Guan Eng lagi.

Pada masa yang sama, Guan Eng turut melahirkan dukacitanya apabila hanya pekerja-pekerja Modal Insan di Iskandar diberi keistimewaan.

“Mengapa hanya pekerja-pekerja Modal Insan di Iskandar saja yang dikenakan cukai sebanyak 15%? Mengapa tidak diperluaskan di seluruh negara? Negeri-negeri lain pun sebahagian daripada Malaysia,”
ujarnya lagi.

“Saya juga agak dukacita kerana tiada sebarang projek di Pulau Pinang diumum,” tambahnya.