25 mangsa ribut dapat bantuan 24 jam

KEADAAN salah sebuah rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut di DUN Bertam di sini baru-baru ini.
KEADAAN salah sebuah rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut di DUN Bertam di sini baru-baru ini.

BERTAM – Pantas, itulah istilah yang tepat untuk menggambarkan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sentiasa peka dan efisien dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada warga Pulau Pinang. Tidak sampai 24 jam, Kerajaan Negeri tampil memberi bantuan bencana kepada tiga buah keluarga di Permatang Pak Maras dan Permatang Sintok, di sini.

Dalam kejadian ribut yang melanda baru-baru ini, sejumlah 25 buah keluarga terlibat dengan pelbagai kerosakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam. Tindakan pantas Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak, telah membolehkan tiga buah keluarga, dua di Permatang Pak Maras dan satu di Permatang Sintok menarik nafas lega.

“Pada malam kejadian, kami (PPK dan wakil JKKK) turun memberi sumbangan makanan dan wang tunai berjumlah RM1,000 setiap keluarga,” ujar Asrol Sani.

Tambah beliau lagi, ketiga-tiga buah keluarga tersebut terpaksa dipindahkan ekoran rumah yang mereka diami musnah dan tidak selamat untuk diduduki. Mereka yang terlibat ialah Zakaria Salleh, 38, dan keluarga, Hisham Mohamad, 37, dan keluarga serta Mohd. Mat Saman, 61, dan keluarga.

“Anggaran kerosakan adalah antara RM3,000 ke RM20,000 setiap sebuah rumah. Walau bagaimanapun, bantuan tambahan akan dibuat selepas penilaian dan taksiran lengkap oleh Pejabat Daerah Kepala Batas,” tambah Asrol Sani lagi.

Selain sumbangan bencana alam dari Kerajaan Negeri, semua 25 buah rumah yang terlibat turut menerima sumbangan dari Pejabat Daerah, Pusat Urusan Zakat (PUZ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdasarkan nilai taksiran kerosakan rumah-rumah berkenaan dalam tempoh terdekat.

Sumbangan susulan telah disampaikan oleh Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, Jusni Ismail yang turut dihadiri oleh PPK Bertam, wakil-wakil Pejabat Daerah dan JKKK.