Rayuan bantuan kewangan warga emas

Admin

QUAH Seang Teik (kiri) di samping isterinya, Teh Eng Choo di rumah Orang-orang Tua Guang Ren Leasure di sini.
QUAH Seang Teik (kiri) di samping isterinya, Teh Eng Choo di rumah Orang-orang Tua Guang Ren Leasure di sini.

 

SEBERANG JAYA – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Hati dan jiwa kita pasti meruntun apabila melihat ada individu yang sedang menderita oleh dek kerana kesakitan yang sukar untuk diubati.

Bagaimana pula perasaan kita jika individu tersebut ialah keluarga terdekat kita sendiri. Sudah pasti kita akan berusaha untuk membantu sedaya boleh bagi mengurangkan beban yang dialami.

Bagi seorang warga emas, Quah Seang Teik, 70-an, ketabahan beliau menjaga isteri, Teh Eng Choo, 60-an, yang sedang menderita sakit strok selama hampir lima tahun amat menyentuh perasaan. Pelbagai usaha telah dilakukan namun penyakit isteri kesayangannya masih belum pulih jua.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, mereka terpaksa menjual rumah bagi menampung kos perubatan yang sudah menjangkau RM150,000.00. Malah, wang simpanan mereka juga sudah habis digunakan.

Kini, isterinya ditempatkan di rumah Orang-orang Tua Guang Ren Leasure, Mak Mandin dengan bayaran sebanyak RM700.00 sebulan tidak termasuk kos makan harian, ubat-ubatan dan lampin pakai buang yang menelan belanja hampir RM1500.00 sebulan.

Di samping itu, rawatan tradisional juga digunakan untuk mengurut kaki isterinya yang berharga RM50 sekali urutan. Apabila dihitung, kos untuk rawatan tradisional ini memakan belanja hampir RM1,000.00 sebulan. Mereka sudah tidak mampu untuk menanggungnya.

Bantuan orang ramai sangat diperlukan ketika ini bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi mereka.

Sumbangan boleh diberikan terus kepada Quah Seang Teik di alamat Blok D2-516B, Lorong Tuna, 13700 Seberang Jaya atau beliau juga boleh dihubungi di talian 012-4980320.