RFP PIP RM27 bilion tutup 16 Disember

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memohon mana-mana pembida yang berminat menyertai Notis Permohonan Cadangan atau Request for Proposal (RFP) bagi tender pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) melibatkan nilai RM27 bilion supaya membuat bidaan sebelum 16 Disember ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, tender tersebut telahpun dibuka sejak 15 Ogos lalu dan akan ditutup pada 16 Disember 2014.

“Pembida dibenarkan melaksanakan usahasama dengan mana-mana syarikat tempatan atau asing dan membentuk konsortium dengan dana pemegang saham syarikat utama mestilah tidak kurang daripada RM500 juta.

“Pembida juga perlu mempunyai rekod prestasi yang baik dan sekurang-kurangnya terlibat dalam dua projek berskala besar seperti pembinaan lebuh raya atau projek pengangkutan awam dengan nilai kontrak sekurang-kurang RM500 juta sama ada sedang dilaksanakan atau telah siap bagi tempoh antara lima ke 10 tahun kebelakangan,” katanya dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai, Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye, Timbalan Pengarah Kejuruteraan MPPP, Ir. A. Rajendran dan Koordinator Pelaksana PIP, Ir. Lim Thean Heng.

Jelasnya, PIP adalah sebahagian daripada sistem pengangkutan awam bersepadu dan holistik dilengkapi dengan sistem jaringan jalan raya untuk kemudahan hampir 1.6 juta penduduk di negeri ini.

“Projek bernilai RM27 bilion itu turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan sistem pengangkutan awam menyeluruh termasuk jaringan trem dan sistem transit aliran ringan (LRT) bagi menangani masalah kesesakan lalulintas di Pulau Pinang.

“Ini adalah keutamaan Kerajaan Negeri dalam menambahbaik akses pergerakan rakyat selaras dengan peningkatan populasi pengguna jalan raya yang dijangka mencapai 2.54 juta menjelang 2030,” jelas beliau.

PIP merangkumi tempoh pelaksanaan secara berfasa bermula dari tahun 2013 hingga 2030 dengan melibatkan pelaksanaan Pelan Tindakan Lebuhraya bernilai RM16.4 bilion, Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Awam (RM9.7 bilion), Pelan Tindakan Kebolehcapaian, Pelan Tindakan Institusi dan Kajian Pengangkutan Air (keseluruhan RM900 juta).

Selain itu, PIP turut memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan mesra OKU (orang kurang upaya) dan cadangan pembinaan hubungan ketiga atau terowong bawah laut yang akan bertindak sebagai pintasan bagi mereka yang menghala ke arah utara Pulau Pinang.

Maklumat lanjut, sila layari portal rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di www.penang.gov. my atau hubungi Bahagian Kerajaan Tempatan di talian 04 – 650 5410, 04 – 261 3454 (Ir. Lim Thean Heng) atau 04 – 650 5681 (Engr. Mustaqin Alpi).