TKPM Juru harap capai prestasi taraf lima bintang

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Juru di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) diharap dapat membantu menambahkan pengeluaran hasil makanan produk tempatan dan lebih berkualiti di negeri ini.

Ianya disuarakan ExcoPertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin ketika Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Novasi bagi Projek Di TKPM Juru di sini baru-baru ini.

Afif berkata, dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan negeri, Kerajaan Negeri pada 2006 telah meluluskan TKPM Juru dengan keluasan 284.62 ekar atau 115.18 hektar sebagai tapak projek kedua berkonsepkan TKPM di negeri ini selain TKPM Ara Kuda, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU).

“Program ini adalah kesinambungan daripada projek TKPM yang diwujudkan Kerajaan Persekutuan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan dan memastikan Imbangan Perdagangan Negara berada pada tahap yang baik.

“Oleh itu, TKPM Juru merangkumi tiga komponen utama pertanian iaitu tanaman, ternakan dan akuakultur berbanding TKPM Ara Kuda yang lebih menfokuskan kepada sayur-sayuran dan buah-buahan sahaja.

“Ketiga-tiga komponen ini merangkumi tanaman nanas, ternakan ikan dan ternakan ayam.

“Dalam masa terdekat juga, sektor tanaman akan dikembangkan dengan penanaman cendawan selepas ini,” ujarnya selepas Majlis MoU Novasi Projek TKPM Juru membabitkan lapan peserta baru bersama-sama Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI), S. Barathi dan Timbalan Pengarah (Makro) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Hafidzah Hassan.

Dalam pada itu, Afif turut berkongsi harapan agar TKPM Juru dapat mencapai penarafan lima bintang sepertimana pencapaian TKPM Ara Kuda yang telah diiktiraf Jabatan Audit Negara baru-baru ini.

“Melalui penarafan lima bintang ini dan sijil Mygap (Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia) yang kita (Kerajaan Negeri) wajibkan kepada setiap penternak atau petani miliki, maka produk tani keluaran pengusaha dapat dipasarkan menjangkaui sempadan antarabangsa selain pasaran tempatan,” ujar beliau.