RM1.3 juta peruntukan selenggara infrastruktur 11 flat ‘hadiah Aidilfitri’

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING

BATU UBAN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang meluluskan RM1.3 juta peruntukan untuk penyelenggaraan lif dan kerja-kerja penarafan infrastruktur di 11 kediaman pangsa sekitar Parlimen Bayan Baru.

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow menyifatkan kelulusan itu sebagai ‘hadiah Aidilfitri’ kepada penduduk setempat.

“Peruntukan untuk kawasan ini (Batu Uban) umpamanya adalah daripada sumber tabung negeri dan juga dana Dr. T. Jayabalan (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Batu Uban) sendiri.

“Semua projek menaik taraf infrastruktur yang terlibat adalah di Taman Jubilee Suite 1, Seri Villa Kenanga, Dafe Court, Pangsapuri Jambul, Taman Century Block 38, Taman Jubilee Fasa 7, Seri Saujana, Seri Nibong, Taman Jubilee Fasa 2, Taman Utama (dan) Yanan Pekaka Blok 33,” katanya yang juga ADUN Padang Kota dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban dekat Masjid Jamek Batu Uban di sini baru-baru ini.

Selain Jayabalan, hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng yang juga ADUN Bagan Jermal serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyerahkan sijil menduduki unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada
beberapa pemohon layak.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri senantiasa komited untuk menangani masalah banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sekitar KADUN Batu Uban, Batu Maung dan Pantai Jerejak.

“Dengan mandat dua penggal yang diberikan oleh rakyat Pulau Pinang, kita akan terus berusaha untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan ini,” jelasnya.

Pada 18 November tahun lalu, dilaporkan pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang (DUN) mengumumkan kelulusan sejumlah RM40 juta peruntukan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk kawasan Parlimen Bayan Baru.

Jumlah RM220 juta, termasuk RM40 juta untuk Parlimen Bayan Baru yang diumumkan dalam Bajet Pulau Pinang 2017 ketika itu merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah pentadbiran negeri, untuk tujuan mengurangkan risiko banjir kilat.