Pameran awam Laporan EIA Projek LRT Bayan Lepas kini dibuka

GEORGE TOWN – Butiran terperinci Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi cadangan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas dipamerkan kepada orang awam bermula 19 Julai lalu.

Pameran tersebut dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang dan akan berlangsung sehingga 17 Ogos ini. Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Projek LRT menghubungkan Komtar dan Bayan Lepas tersebut adalah keutamaan untuk pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

“Ia merupakan satu langkah penting ke arah memperbaiki sistem pengangkutan awam dan juga medikasi terhadap kesesakan lalu lintas di sini kelak, iaitu apabila projek ini mendapat kelulusan dan dimuktamadkan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ringkas ke salah satu lokasi pameran dekat Dewan Bandaraya, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Turut serta, Pengurus Pembinaan SRS Consortium, Julian Yeap Kheang Teik.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, tujuan pameran tersebut diadakan adalah bagi membolehkan orang awam dan badan-badan berkepentingan meneliti laporan disediakan konsultan EIA yang telah dilantik (ERE Consulting Group Sdn. Bhd.) oleh rakan pelaksana projek, SRS Consortium, dan menyediakan wadah untuk orang awam memberikan maklum balas berhubung perkara tersebut.

“Justeru, orang awam digalakkan untuk melawat lokasi-lokasi di mana dokumen-dokumen ini dipamerkan.

“Anda boleh meneliti laporan tersebut dan menyuarakan pandangan bertulis kepada Urus Setia EIA Bahagian Penilaian Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang terletak di Putrajaya sebelum 2 September 2017,” serunya.

Orang ramai boleh mengunjungi 10 lokasi terpilih iaitu lapan lokasi di Pulau Pinang dan masing-masingnya satu di Perpustakaan Negara Malaysia, Jalan Tun Razak dan Perpustakaan JAS di Putrajaya.

Lapan kawasan tersebut ialah Perpustakaan Awam Seberang Jaya; Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Tingkat Tiga, Komtar; Dewan Bandar Raya, Padang Kota Lama; Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan; Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) dan Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang (JASPP) di Kepala Batas dan Bayan Lepas.

Tambah Kon Yeow, proses seterusnya selepas tarikh tutup (2 September), pihak Kerajaan Negeri, SRS Consortium dan ERE Consulting akan memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang diterima dan seterusnya penjelasan tersebut akan diserahkan kepada ibu pejabat JAS untuk diteliti serta dimasukkan ke dalam laporan akhir.

“JAS akan membuat ulang kaji dan meneliti semua soalan berbangkit dan respons daripada pihak Kerajaan Negeri.

“Ulasan-ulasan ini akan dimasukkan ke dalam laporan akhir. Kelulusan daripada JAS terhadap laporan EIA ini adalah amat penting kerana ia adalah salah satu syarat utama yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Laporan akhir EIA inilah yang akan menentukan sama ada SPAD bakal melulus serta mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri bagi membangunkan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas yang sudahpun dikemukakan kepada mereka sejak Mac 2016,” katanya.

Selain itu, butiran terperinci laporan tersebut juga boleh diakses melalui laman sesawang www.doe.gov.my; www. penang.gov.my; www.pgmasterplan.penang.gov.my dan www.ere.com.my/bllrt.