RM1.5 juta bantu mangsa-mangsa banjir

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyumbang RM1.5 juta bagi Bantuan Pengurusan Banjir sebagai bantuan kemanusiaan kepada mangsa -mangsa banjir baru-baru ini susulan mendapat arahan daripada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, RM500,000 daripada jumlah bantuan tersebut berupa barang keperluan seperti susu tepung, tuala wanita dan air bersih dihantar sertamerta melalui tanggungjawab sosial korporat pesawat penerbangan, Firefly.

Manakala misi konvoi kemanusiaan kedua, ‘Selamatkan Kuala Krai, Misi Konvoi 4WD 24 Jam Pulau Pinang’ (Misi Konvoi 4WD) melalui jalan darat, kata beliau, tiba ke kawasan Parlimen Kuala Krai pada 1 Januari lepas.

“Sumbangan telahpun dipindahkan ke satu akaun amanah atas arahan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng demi membantu mangsa banjir di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu turut melahirkan rasa kesal dengan laporan berita palsu yang dimuat naik pada dinding Facebook, “Friends of BN” pada 27 Disember tahun lepas, kononnya pemberian RM1.5 juta tersebut adalah tidak sah memandangkan Guan Eng masih bercuti di luar negara.

“Tuduhan ini merupakan satu penipuan.

“Ketua Menteri menghubungi saya setiap hari bagi  mengetahui keadaan banjir dan mangsa-mangsa terlibat.

Apabila beliau dimaklumkan situasi kritikal membabitkan golongan kanak-kanak, warga emas dan wanita, beliau terus mengarahkan supaya RM1.5 juta dipindahkan ke Akaun Amanah,” jelasnya dalam kenyataan media pada 27 Disember 2014.

Sementara itu, beberapa hari selepas kejadian banjir teruk yang melanda negeri-negeri pantai timur, kira-kira 524 rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang, Balik Pulau di sini rosak akibat tiupan Angin Langkisau sekencang 50 kilometer/sejam pada 29 Disember tahun lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang merupakan Exco pertama mengadakan lawatan ke kawasan kejadian yang menurut Jabatan Meteorologi Pulau Pinang adalah hasil tiupan Angin Langkisau memberitahu, antara kawasan terlibat adalah Kampung Sungai Rusa, Permatang Pasir, Sungai Pinang, Pantai Acheh, Jalan Baru dan Kampung Sungai Pinang.

Tinjauan Buletin Mutiara mendapati rata-rata bumbung rumah mangsa kejadian diterbangkan dalam kejadian yang berlarutan kira-kira enam jam. Turut musnah adalah kubah Masjid Sungai Rusa.

Dalam pada itu, Guan Eng yang mengadakan lawatan ke lokasi kejadian menyampaikan sumbangan segera bernilai RM200 kepada setiap mangsa terlibat.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga ADUN Air Itam, Wong Hon Wai; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid; Pegawai Penyelaras KADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail
dan Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Halim Hussain.

Turut berada di lokasi, Pengarah Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Mohamed Akbar Mustapha dan Penghulu Kawasan Teluk Bahang, Amiruddin Mohd. Kasim.

Tragedi ribut di Teluk Bahang

ROSLAN Ramli, 56, kerja sendiri, berkata, ketika kejadian, beliau bersama isteri dan anaknya berada di dalam rumah yang baru siap dibina pada Hari Raya Korban menggunakan caruman wang simpanan pekerja (KWSP) kira-kira RM97,000 miliknya.

“Saya dapat rasakan angin mula bertiup kencang pada jam 8 malam, ketika itu, tiupan amat luar biasa.

“Saya keluar masuk memerhatikan pokok-pokok kelapa di depan dan belakang rumah. Malah, disebabkan risau, saya tidak dapat tidur dan membaca quran di ruang tamu.

“Menjelang tengah malam, angin semakin kencang. Tiba-tiba, anak menjerit dan terdengar bunyi dentuman yang kuat. Pokok kelapa di belakang rumah tumbang betul-betul di atas bumbung rumah.

“Walaupun terkejut dan sedih, alhamdulillah, tiada sesiapa yang cedera,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

WARGA emas, Che Kiah Md Abu, 80, memberitahu bahawa bumbung rumahnya hasil sumbangan Kerajaan Negeri tiga tahun lalu musnah diterbangkan sekelip mata dalam kejadian berkaitan.

” Ketika kejadian, Tok berada di rumah dengan lima cucu dan anak yang terbaring cedera ekoran terlibat dalam kemalangan
beberapa bulan lalu.

“Apabila terdengar bunyi bising zink bumbung seolah-olah ingin terbuka, Tok bawa cucu-cucu dan minta anak yang tinggal berhampiran untuk memindahkan anak yang tak dapat berjalan itu.

“Selepas itu, tanpa disedari, zink bumbung telah hilang entah ke mana!” jelas beliau yang menyatakan bahawa ia merupakan kejadian pertama pernah dialaminya.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);