Penarafan Mahkamah Syariah perlu pinda enakmen – Ketua Hakim Syarie P. Pinang

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Enakmen Pentadbir Mahkamah Syariah sedia ada perlu dipinda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kelak demi merealisasikan penarafan institusi berkenaan pada lima peringkat mahkamah di negeri ini.

Ketua Hakim Mahkamah Syarie Pulau Pinang, Y.A.A. Datuk Abdul Walid Abu Hassan berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat dekat pejabat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Wong Hong Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) dan Penasihat Undang-Undang Negeri (LA), Dato’ Aliza Sulaiman serta anggota Jabatan Kehakiman Syarie Pulau Pinang turut menyertai pertemuan tertutup tersebut.

Menurut Abdul Walid, Putrajaya mengesyorkan Mahkamah Tengah Syariah diwujudkan di antara peringkat Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah.

Tambah beliau, Majlis Rayuan Persekutuan di bawah Majlis Raja-Raja Malaysia turut diwujudkan di Putrajaya sahaja di atas peringkat Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang sedia ada.

Guan Eng dalam reaksi spontan mengesyorkan Aliza mengemukakan draf berwajib kepada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri sebelum dipertimbang untuk dibentangkan di DUN kelak.

“Majlis Agama Islam (Negeri Pulau Pinang, MAINPP) dah setuju dan LA kata perlu masuk mesyuarat Exco untuk persetujuan.

“Maknanya, apa-apa enakmen kita (DUN) perlu pinda, antaranya, Enakmen Pentadbiran (Mahkamah Shariah), kita perlu  pinda sebab nak memasukkan penubuhan mahkamah.

“Sekarang, Mahkamah (Syariah) kita ada tiga peringkat, kalau selepas ini disetujui dengan pindaan ini, dua lagi peringkat mahkamah akan diwujudkan,” jelas Abdul Walid kepada wartawan selepas selesai kunjungan hormat tersebut.

Abdul Walid memberitahu, kos penarafan pada lima peringkat mahkamah syariah tersebut dari segi infrastruktur serta pengurusan gaji dan sebagainya akan ditanggung Putrajaya, jika syor penggubalan beberapa enakmen berwajib diluluskan di DUN kelak.

“Semua itu akan dibiayai Kerajaan Persekutuan, cuma (peringkat) Mahkamah Tengah (Syariah) dan ke bawah sahaja dibiayai oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kepemimpinan Kerajaan Negeri dan anggota delegasi Jabatan Kehakiman Syarie Pulau Pinang turut berbincang mengenai projek pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri di bawah Kerajaan Pusat, yang masih belum siap mengikut jadual pemajuan hingga kini.