RM1.73 juta naik taraf Pasar Awam Taman Berjaya sejak 2013

Admin

JAWI – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) membelanjakan RM1.73 juta bagi menaik taraf Pasar Awam Taman Berjaya, Nibong Tebal (sejak 2013) yang sebelum ini tidak pernah dinaik taraf kerajaan (Kerajaan Negeri Barisan Nasional, BN) terdahulu.

Katanya, kali pertama ianya dinaik taraf adalah pada tahun 2013 melibatkan dana RM1.468 juta.

“Hasil daripada Jelajah Sedia Mendengar pada 13 Oktober 2016, sebanyak RM199,964 disalurkan lagi bagi projek menaik taraf bumbung tambahan antara kompleks makanan dan minuman serta bangunan tinggi yang menjual barang-barang plastik dekat Pasar Awam Taman Berjaya.

“Saya difahamkan, bumbung baharu yang dinaik taraf ini adalah agak luas iaitu 11.1 meter (lebar) kali 45 meter (panjang) bagi menempatkan lebih banyak peniaga.

“Selain itu, pemasangan metal deck juga akan dijalankan dengan melibatkan kos RM50,000 dan lain-lain naik taraf lagi,” katanya pada Majlis Perasmian Bumbung Tambahan Gerai Penjaja Pasar Awam, Taman Berjaya, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Maktar Shapee; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee; Setiausaha Perbandaran bagi MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

Turut dirasmikan pada majlis sama, mural bertemakan pengasingan sisa di punca berhampiran pasar tersebut.

Guan Eng dalam pada itu juga berjanji akan berbincang dengan MPSP untuk menambah kapasiti parkir di kawasan tersebut yang dikatakan tidak mencukupi.

“Sekarang ada 112 petak parkir dan dua untuk orang kurang upaya (OKU), dan kita akan tengok bagaimana serta bincang dengan MPSP,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Lip Chee dalam pada itu ketika berucap memberitahu, Pasar Awam Taman Berjaya yang menyediakan 259 petak perniagaan merupakan pasar penting bagi kawasan Nibong Tebal kerana ia turut menerima kunjungan dari penduduk Parit Buntar, Perak.

“Sebagai wakil rakyat, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang ambil prihatan kepentingan penduduk di sini,” ujarnya.