Kompleks pasar dan makanan berwajah baharu, sewa tetap kekal – KM

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN LEPAS – Pembangunan serta naik taraf kompleks pasar dan makanan dengan ruang niaga lebih moden serta komprehensif merupakan inisiatif Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu peniaga-peniaga kecil menjalankan perniagaan dalam ruang yang lebih selesa.

Chow Kon Yeow berkata, sejak beliau memegang portfolio sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, sejumlah 24 projek naik taraf telah dijalankan, manakala projek menaik taraf Pasar Lebuh Campbell masih dalam peringkat perancangan pembinaan.

“Dalam tempoh ini juga, kita dapati ramai penjaja-penjaja tanpa lesen telah menerima peluang yang lebih baik untuk menjalankan aktiviti perniagaan masing-masing secara sah dan berlesen.

“Tetapi, adalah menjadi cabaran buat PBT apabila ada segelintir peniagapeniaga di tepi jalan (tidak mempunyai lesen sah) ini enggan masuk (menjalankan) perniagaan di dalam kompleks yang disediakan hanya kerana di lokasi asal (tepi jalan) mereka dapat jalankan perniagaan secara pandu lalu.

“Justeru, kita harap penjaja faham akan hasrat Kerajaan Negeri yang bersusah payah menyediakan segala kemudahan canggih dan moden hanya untuk mereka menjalankan perniagaan secara lebih teratur,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota sempena Majlis Perasmian Kompleks Pasar dan Makanan Pagar Buloh di Sungai Ara di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang, Dato’ Patahiyah Ismail (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP), Ar. Yew Tung Seang (Setiausaha Bandaraya MBPP), Datuk Ooi Kee Liang (Pengarah Kumpulan Ideal Property, Ideal) dan wakil Koperasi Tunas Muda Sdn. Bhd. (Tunas Muda) turut hadir pada majlis tersebut.

Kos pembangunan pasar berkenaan adalah bernilai RM27 juta iaitu RM17 juta kos tanah disumbangkan oleh Tunas Muda, dan kos bangunan (RM10 juta) di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ideal.

Kos-kos tersebut adalah meliputi kerjakerja reka bentuk, harga tanah, binaan bangunan merangkumi 25 gerai makanan, 44 gerai bagi unit pasar dan satu dewan serba guna yang dapat memberi manfaat kepada penduduk di Golden Triangle bahagian pulau ini.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucapannya menyatakan bahawa, sejak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang memegang tampuk pemerintahan negeri pada tahun 2008, transformasi bukan sahaja dilakukan di bahagian atasan, sebaliknya ia dimulakan di peringkat akar umbi seperti pasar dan kompleks makanan.

“Sejak tahun 2008, MBPP telah membelanjakan lebih RM50 juta untuk tujuan naik taraf ini. Jumlah ini tidak termasuk projek membina dan menaik taraf di bawah tanggungjawab pihak swasta.

“Apa yang pasti, walaupun pasar dan kompleks ini berwajah baharu, kadar sewa tetap kekal,” ujarnya.