RM2.2 juta laksana Bantuan Projek Khas Ekonomi 2015 untuk rakyat

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

 

BALIK PULAU – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu bahawa sejumlah RM 2.2 juta diperuntukan Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan program Bantuan Projek Khas Ekonomi pada tahun ini.

Katanya, agihan dan pecahan adalah berdasarkan keperluan dan permintaan bagi setiap daerah yang berbeza.

“Projek bantuan khas ini meliputi dua jenis bantuan, iaitu bantuan bina baru dan baiki serta bantuan peralatan perniagaan,” beliau berkata demikian pada penganjuran Program Jelajah Desa Daerah Barat Daya (DBD) 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah DBD, Syamsul Fitry Ahmad, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail, PPK Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid dan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Sebanyak lima kawasan kampung di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong dilawati sepanjang ‘jelajah’ berkenaan yang meliputi satu projek bina rumah baru, baiki rumah (2) dan pemberian bantuan peralatan (6).

Menurut Afif, program jelajah tahunan kali kedua tersebut diadakan untuk membantu golongan kurang mampu di kawasan pedalaman termasuk bantuan rumah dan peralatan perniagaan bagi membolehkan golongan berkaitan menambah pendapatan sedia ada melalui inisiatif keusahawanan.

Bagi bantuan bina baru, Afif memberitahu, sejumlah RM160,000 diperuntukan membabitkan empat projek di daerah berkaitan, diikuti enam projek baiki rumah (RM 84,550) dan 31 bantuan peralatan perniagaan (RM56,279).

Dalam pada itu, bagi salah seorang penerima bantuan baiki rumah, Abdul Raif Abdul Halim, 50, ketika ditemui ternyata terharu dengan sumbangan yang diterimanya menjelang Aidilfitri lalu.

“Tak tahu nak cakap macam mana. Hanya mampu melahirkan rasa syukur bila ada pihak yang datang dan sudi bantu baiki bumbung rumah saya yang uzur.

“Jikalau nak harapkan tukar (bumbung) sendiri, kosnya agak tinggi dan membebankan,” jelasnya yang hanya bekerja kampung sebagai nelayan dan tukang.} else {