Segera mohon MyGAP untuk pasar hasil tani komersial

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Petani, peladang dan penternak di negeri ini digesa segera memohon Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) di Jabatan Pertanian Negeri, supaya hasil masing-masing boleh dipasarkan dengan lebih komersial kelak.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Pertanian, Dr. Afif Bahardin berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil MyGAP dan MyORGANIC 2015 di sini baru-baru ini.

“Tahun 2014, kita (Pulau Pinang) menerima 42 sijil, kalau saya, saya minta 80 sijil MyGAP dan MyORGANIC (Skim Pensijilan Organik Malaysia) tahun ini.

“Segala usaha sedang berjalan dan kita (Kerajaan Negeri) berharap dapat dicapai seramai 60 penerima sijil MyGAP dan MyORGANIC pada kali ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada majlis berkaitan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri yang dipilih menerima Anugerah Pengurusan MyGAP & MyORGANIC ketiga terbaik selepas negeri Selangor dan Johor, sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-110 Jabatan Pertanian Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Ahmad Munir Yusoff berkata, mereka yang mempunyai sijil MyGAP dan MyORGANIC sahaja boleh menjalankan urusan pemasaran hasil masing-masing secara rasmi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Munir memberitahu bahawa pihaknya merancang untuk membuat integrasi pertanian membabitkan jenis pokok kelapa pandan serta pokok cili memandangkan kedua-dua hasil pertanian itu kini menerima permintaan yang tinggi dalam pasaran domestik sendiri.

“Kawasan-kawasan yang ada koko, kita akan cuba tanamkan pokok kelapa pandan kerana kebanyakan kelapa pandan ini kita masih banyak import.

“Kedua, tanam cili di tepi rumah, saya sasar satu kampung ada 1,000 pokok dalam satu kampung. Kalau enam kampung ada 6,000 pokok.

“Bayangkan, kalau kita tuai satu pokok cili ada segenggam, maka ada 6,000 genggam, kalau begini baru kita boleh pasar, tak boleh kita cakap sahaja,” seru beliau di depan lebih 50 hadirin dan penerima sijil MyORGANIC.

Sementara itu, salah seorang penerima, Mohd. Fazli Zakaria, 33, yang ditemui memberitahu bahawa beliau memperoleh sijil MyGAP sejak tahun 2014 dan pengiktirafan kali ini adalah yang kedua.

“Sijil ini ada perakuan kita untuk pengguna bahawa hasil pertanian kita adalah selamat untuk dimakan.

“Untuk mendapat pensijilan MyGAP atau MyORGANIC ini, hasil pertanian kita akan dibawa masuk ke makmal untuk dikenalpasti bebas daripada sebarang racun,” ujarnya yang merupakan pengusaha ladang sayur-sayuran dekat Ara Kuda seluas lima ekar kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.