RMM, golongan berkemahiran tinggi layak pohon ikut syarat

GEORGE TOWN – Sejajar dengan aspirasi menyediakan perumahan rumah mampu milik (RMM) untuk rakyat, Kerajaan Negeri kini menawarkan kemudahan kepada mereka yang berkemahiran tinggi, berbakat besar dan kompentasi untuk memohon unit berkaitan di sini.

Perkara itu dinyatakan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo pada sidang media di Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, ahli-ahli Jawatankuasa Pembersihan Proses Perolehan Perumahan (SPEC), Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dan Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan).

Pengurus Besar investPenang (iP), Loo Lee Lian dan beberapa pemain utama industri di Pulau Pinang turut sama dalam sidang media berkaitan.

Jelas Jagdeep, sebelum ini, iP telah mengemukakan cadangan agar memberi kemudahan khas kepada golongan berkemahiran tinggi yang bekerja dan menyumbang bakti terhadap kelestarian pembangunan ekonomi Pulau Pinang untuk memohon rumah mampu milik.

“Cadangan tersebut adalah berdasarkan kaji selidik yang dilakukan iP iaitu dengan anggaran sehingga 13,000 peluang pekerjaan baharu diramal akan wujud, terutama dalam bidang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi termasuk kejuruteraan, perakaunan dan teknologi tinggi menjelang tahun 2017.

“Berdasarkan kriteria dan kaji selidik itu, SPEC telah bersetuju untuk menerima cadangan tersebut, tetapi ianya tertakluk kepada beberapa pematuhan dan kelayakan ditetapkan (oleh SPEC),” jelas beliau.

Antaranya, Jagdeep memberitahu, pemohon diwajibkan untuk berada di Pulau Pinang sekurang-kurangnya lima tahun dari tarikh penyerahan kunci unit rumah selain mematuhi syarat-syarat permohonan lain.

“Malah, SPEC juga tidak akan menetapkan peratusan atau kuota tertentu dari mana-mana projek perumahan sedia ada untuk kategori baharu ini, sebaliknya (SPEC) akan memberi pertimbangan wajar sekiranya pemohon-pemohon (berkaitan) benar-benar layak untuk memohon.

“Sebagaimana maklum, kita (SPEC) juga perlu memenuhi permintaan rakyat Pulau Pinang yang telah tersenarai dalam senarai menunggu dan senarai pertimbangan.

“Bagi mengelakkan kategori baharu ini disalah guna, SPEC telahpun menggariskan beberapa pematuhan, termasuk seseorang pemohon adalah atau ‘menjadi’ pengundi berdaftar di negeri ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.