Laksana COMBI tangani wabak denggi

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperkenalkan Sistem Penggredan Kampung Combi (komunikasi untuk perubahan tingkah laku) – COMBI sebagai pendekatan bagi menangani penularan wabak denggi di negeri ini bermula Oktober 2015.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, COMBI merupakan suatu strategi dinamik yang mengguna pakai kaedah mobilisasi sosial dan komunikasi dalam mempengaruhi perubahan tingkah laku masyarakat ke arah persekitaran bebas denggi.

“Inovasi penggredan ini merupakan salah satu kaedah hebahan atau nasihat kepada kelompok sasaran. Ia diukur berasaskan kadar peratusan jumlah tempat pembiakan nyamuk aedes yang dijumpai di dalam dan di luar rumah penduduk setempat.

“Justeru itu, setiap rumah yang telahpun diperiksa akan dinilai dengan gred yang bersesuaian (A, B, C, D atau E) mengikut tahap kebersihan kawasan perumahan masing-masing.

“Gred-gred ini kemudiannya akan dianalisa bagi mendapatkan status pembiakan denggi pada setiap bulan bagi sesuatu kawasan,” jelasnya pada sidang media ketika mengumumkan pelaksanaan inisiatif berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan wakil pasukan COMBI Kampung Titi Teras, Balik Pulau.

Sehingga kini, terdapat 120 jawatankuasa COMBI di seluruh negeri sejak ianya ditubuhkan pada tahun 2005.

Mengulas lanjut, Afif memberitahu, projek penggredan tersebut diilham dan dicontohi dari projek inovasi yang dipelopori oleh COMBI Kampung Titi Teras.

“Kita dapati kaedah hebahan, komunikasi dan penerangan ini lebih berkesan kepada kelompok sasaran berbanding mengedarkan risalah.

“Sehubungan itu, seluruh ahli COMBI akan diberikan latihan sebelum melakukan penggredan ke setiap rumah di kawasan masing-masing,” jelas beliau.

}