Waktu operasi baru bina ‘special span’, mulai 12 Okt.

GEORGE TOWN – Tempoh masa untuk kerja-kerja pembinaan rentang tuju istimewa (special span) bagi projek menaiktaraf Lebuhraya Bayan Lepas (BLE) dari Batu Maung ke Queensbay, Sungai Nibong akan ditambah 102 jam seminggu, bermula 12 Oktober lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap, projek Kerajaan Pusat itu dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual pada bulan Jun tahun depan, tanpa kesesakan trafik yang teruk serta sebarang kemalangan jiwa.

“(Kerja-kerja pemajuan) akan dilaksanakan setiap hari, tetapi mengikut masa yang ditetapkan.

“Waktu puncak (sebelum jam 9) pagi tiada masalah (trafik) kerana jalan-jalan ini masih dibuka, tetapi, pada waktu lain, kita (Kerajaan Negeri) berharap semua pengguna boleh ambil perhatian.

“(Pemaju) mesti fleksibel dan ada budi bicara supaya tidak lagi berlaku kesesakan (trafik), kalau tidak mesti terima arahan (penangguhan kerja-kerja) daripada saya lagi,” katanya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dato’ Patahiyah Ismail (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP), Ir. Ang Aing Thye (Setiausaha MBPP) dan Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP, A. Rajendran turut hadir pada sidang media tersebut.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Projek Khas Zon Utara bagi Jabatan Kerja Raya (JKR), Mohd. Yusup Zahidin dan Ir. Ismade Ismail (Pengurus Pemajuan bagi UEM Builders Bhd.).

Menurut Guan Eng, ketetapan terbaru mengenai projek Kerajaan Pusat itu diputuskan selepas mempertimbang syor Panel Jurutera Pakar Bebas yang dilantik oleh Kerajaan Negeri dan cadangancadangan daripada Persatuan Syarikat Perindustrian Bebas (Frepenca) serta mengambil kira kepentingan penduduk secara amnya.

Beliau memberitahu, jalan-jalan berwajib akan ditutup dari 9 malam hingga 5 pagi serta dari 9 pagi hingga 12.30 tengah hari pada hari bekerja, Isnin hingga Jumaat.

“Manakala pada hari Jumaat hingga pagi Isnin, jalan-jalan sama turut akan ditutup mulai jam 9 malam hingga 5 pagi.

“Namun, tiada penutupan jalan dari 9 pagi hingga 12.30 tengah hari pada hari Jumaat sahaja kerana kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu kesesakan trafik semasa orang Islam pergi sembahyang (Jumaat),” jelas Guan Eng lagi.

Terdahulu, kegagalan JKR serta UEM melaksanakan pelan penutupan jalan secara berjadual demi membolehkan kerja-kerja pemasangan tiga bahagian special span lebuh raya bertingkat yang merintangi Sungai Keluang dekat Bayan Baru pada 17 Ogos lalu mengakibatkan kesesakan trafik, hatta, menggamit amarah rakyat serta rasa tidak puas hati Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri mengarahkan pembukaan semula jalan-jalan berwajib dengan kerja-kerja di tapak pemajuan dihentikan serta-merta, untuk penilaian lanjut oleh Panel Jurutera Perunding Bebas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri.