Roboh kedai – MPPP tidak hemtam keromo

Admin

 

GEORGE TOWN – Apabila kita terdengar atau menyebut Pulau Pinang, perkara pertama yang terlintas di minda adalah pasembur, nasi kandar, cendol dan pelbagai jenis makanan yang mengecurkan. Pulau Pinang adalah syurga makanan Malaysia.

Rentetan kepopularan syurga makanan, maka kebanyakan warga Pulau Pinang, malah warga asing mengambil kesempatan membuka perniagaan di merata-rata tempat tanpa memikirkan soal lesen mahupun keselamatan dan kebersihan perkhidmatan dan makanan yang dihidangkan. Tidak kurangnya, ada yang membina premis perniagaan makanan secara haram selama bertahun-tahun dan berselerak di tepi-tepi jalan sekitar kawasan tumpuan di Pulau Pinang.

Ekoran aduan orang ramai dan beberapa pelancong luar, maka pihak berkuasa tempatan (PBT) terutamanya pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), mengambil langkah drastik dengan merobohkan premis-premis haram secara berperingkat-peringkat.

Menurut jurucakap MPPP, mereka tidak hentam keromo merobohkan premis perniagaan, sebaliknya mereka telah mengeluarkan notis pengosongan premis dua bulan sebelum sebarang tindakan susulan diambil. Ada di kalangan penerima notis ingkar, keras kepala dan menyatakan bahawa PBT mengganggu periuk nasi mereka. Walhal, sekiranya mereka benar-benar ingin berniaga, maka mohonlah lesen dan ikutlah prosedur yan telah ditetapkan oleh PBT agar tidak wujud ruang pertelingkahan kelak.

Antara premis yang dirobohkan oleh PBT dalam operasi perobohan premis haram termasuklah Hammer Bay Ikan Bakar di Persiaran Queensbay, Three N Ikan Bakar di Jelutong, Kafe Do Re Mi di Tanjung Bungah, Sunset Bistro di Batu Feringghi dan beberapa deretan kedai di Taman Pelangi, Juru dan Teluk Kumbar.

Buletin Mutiara sempat menemubual beberapa peniaga yang hanya mahu dikenali dengan nama samaran rata-rata menyuarakan yang mereka hanya menginginkan premis yang ramai pengunjung dan strategik. Premis yang disediakan oleh PBT ada yang tidak strategik walaupun selesa, malah sekiranya perniagaan dijalankan juga maka kerugian terpaksa ditanggung oleh para peniaga.

Menurut Pengerusi Gantian Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong, isu perniaga tanpa lesen dan premis perniagaan haram sebenarnya telah lama bertapak di Pulau Pinang. Malah isu tersebut berlarutan dan tiada tindakan ketara yang diambil oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Terdapat kira-kira 2,000 hingga ke 3,000 premis perniagaan tanpa lesen beroperasi dikenal pasti di Pulau Pinang. Sebenarnya premis-premis ini ada yang mengganggu lalulintas dan menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Ada yang beroperasi di laluan pejalan kaki dan menimbulkan risiko kepada pejalan kaki,” katanya.

Selain faktor keselamatan, faktor kebersihan makanan turut menjadi isu. Hal ini kerana persekitaran premis tersebut terdedah kepada habuk, asap kenderaan, menjadi tempat pembiakan lipas dan tikus serta tahap kebersihan air menjadi tanda tanya.

Di sudut pandangan lain pula, Buletin Mutiara sempat bertemu penduduk di sekitar taman perumahan yang mempunyai premis perniagaan tanpa lesen. Menurut penduduk di taman perumahan tersebut, dengan adanya gerai-gerai menjual makanan, ia memudahkan kerja harian mereka. Hal ini kerana, ada dalam kalangan penduduk yang tinggal bersendirian atau bersama anak-anak sahaja dan kerja memasak hanya dilakukan pada hujung minggu.

Senangla ada gerai kecil-kecil depan rumah, sekarang semua kena roboh payah nak cari makan,” ujar penghuni rumah pangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ana.

Kakak tinggal dua beranak, abang bawa lori, nak masak apa sangat. Beli depan ni senang. Lagipun peniaga ni tak kacau orang,” tambahnya yang merujuk kepada peniaga asing yang membuka premis perniagaan nasi campur di kawasan perumahan pangsa tersebut.

Seorang lagi penghuni yang ditemui berkata, premis perniagaan di kawasan rumah beliau bukan sahaja memudahkan beliau membeli makanan, malah makanan yang ditawarkan sangat murah, sedap dan kebersihan juga terjaga. Akan tetapi, setelah premis tersebut dirobohkan, dia terpaksa memandu untuk membeli makanan.

Di sini, Buletin Mutiara ingin menyatakan bahawa tahap kesedaran siviks masyarakat masih lagi di tahap rendah. Sikap endah tak endah dan ‘tak apa’ yang bersarang dalam minda menjadi penyakit yang menularkan masalah dalam jangka masa panjang. Buletin Mutiara mengharapkan agar PBT dapat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan sebaiknya tanpa memihak mana-mana pihak dan mengamalkan CAT (Cekap, Akauntabel, Telus) dalam melaksanakan tanggungjawab.