Mesin pencetak 3D pacu bidang reka cipta negeri

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


BAYAN BARU – Hasil kerjasama Penang Skill Development Centre (PSDC) dan anak syarikat syarikat pengkhususan kejuruteraan, penciptaan dan latihan IME Solutions Sdn. Bhd., Kumpulan IME, sebuah mesin pencetak teknologi 3D pertama berjaya dihasilkan bagi memudahkan kerja reka cipta di negeri ini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir menyaksikan pengoperasian mesin pencetak berkenaan menyifatkan ianya sangat produktif dan efisien bagi proses reka bentuk sesuatu produk ataupun prototaip.

Jelas beliau, mesin pencetakan 3D tersebut dibangunkan bagi mempercepatkan proses reka cipta sesebuah produk bagi penghasilan prototaip dalam tempoh masa 40 jam berbanding kelaziman biasa selama seminggu hingga dua minggu.

“Selain itu, saya juga dapati mesin cetak ini memberikan satu implikasi komprehensif dalam bidang konsep model, kejuruteraan mekanikal, analisa ergonomik, penciptaan dan simulasi, prototaip, kualiti dan penciptaan melalui digital.

“Malah, saya juga berharap dengan adanya teknologi baru ini dapat memperkembangkan bidang perindustrian sedia ada di Pulau Pinang termasuk Industri Kecil Sederhana (SME) serta dimanfaatkan teknologi sama oleh syarikat multinasional, tempatan, kolej-kolej dan sekolahs-ekolah di sini,” katanya pada sesi lawatan ke makmal PSDC di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Pengarah Urusan IME Group, Teoh Tuan Ka.

Dalam pada itu, Tuan Ka menyatakan bahawa mesin terbabit diharap dapat membantu memajukan sektor industri reka cipta dalam kalangan penggiat industri di Pulau Pinang di samping membantu golongan muda mengekpresikan idea masing-masing dengan lebih inovatif serta kreatif termasuk golongan kanak-kanak.