Rogol perbuatan jenayah, bukan gurauan, tegas ADUN

Admin

GEORGE TOWN – Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng menegaskan bahawa rogol merupakan perbuatan jenayah yang serius dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan gurauan.

Beliau menegaskan perkara itu sebagai mengulas pendedahan yang dibuat oleh seorang pelajar perempuan, Ain Husniza Saiful Nizam, 17, berkenaan jenaka rogol oleh seorang guru.

Chong Eng.

“Saya memuji tindakan Ain yang berani tampil mendedahkan perkara ini kepada umum walaupun dia menerima ugutan rogol daripada rakan-rakan sekelasnya.

“Anda adalah model peranan kepada mangsa-mangsa lain untuk menyuarakan kejadian yang sama dan seterusnya menghentikan semua perbuatan mengarut ini,” tegasnya pada sidang media dekat Komtar pada 28 April lalu.

Turut, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng serta Ahli Lembaga Pengarah PWDC, Dato’ Rohana Abdul Ghani

Justeru, Chong Eng mencadangkan agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan pendedahan yang dinamik dengan menganjurkan bengkel latihan dan kurikulum yang bersesuaian kepada semua pelajar sekolah.

“Selain itu, kerajaan juga perlu meningkatkan lagi kesedaran orang awam mengenai pentingnya isu ini kerana ia amat sensitif dan tidak boleh dianggap sebagai satu bahan gurauan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Ong Bee Leng.

Sementara itu, Bee Leng pula menyatakan bahawa gangguan seksual di negara ini boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.

“Selama bertahun-tahun, PWDC sentiasa berusaha untuk memberi kesedaran kepada orang awam mengenai kesaksamaan gender.

“Justeru, adalah penting bagi kita semua untuk terus memperjuangkan gerakan ini,” tambahnya lagi.

Rohana Abdul Ghani.

Pada sidang media sama, Rohana turut menyampaikan mesej sokongan dan kata-kata semangat kepada Ain Husniza yang telah menjadi mangsa buli siber selepas mendedahkan perkara tersebut.

“Ain tidak perlu risau dengan apa yang berlaku dan sebaliknya jadikan ini sebagai satu suntikan semangat untuk lebih maju ke hadapan.

“Kami sentiasa ada di sini untuk menyokong Ain,” katanya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING