Kerajaan Negeri sentiasa tekankan aspek hijau dalam semua projek pembangunan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sentiasa menekankan aspek persekitaran hijau dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan untuk memperkenalkan lagi Pulau Pinang di peringkat antarabangsa.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa komitmen tersebut dapat dilihat daripada pelbagai projek yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) termasuk aspek kitar semula.

“Terbaru, MBPP menjalankan Projek Inovasi ‘Upcycling’ – Menggunakan Bahan Kitar Semula bukan sahaja di Komtar tetapi juga di beberapa kawasan lain termasuk Taman Perbandaran Pulau Pinang (Taman Belia), Laluan Gurney (Old Gurney Drive), dan taman-taman perumahan,” katanya semasa merasmikan projek tersebut dekat Komtar, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Tung Seang (kiri), Jagdeep (kanan)

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memberitahu bahawa negeri Pulau Pinang berjaya mencapai kadar kitar semula tertinggi di negara ini iaitu sebanyak 45 peratus.

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang atas usaha ini dan kita berharap agar peratusan tersebut akan terus meningkat kelak,” ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai ura-ura pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Pulau Pinang, Jagdeep memberikan komitmen bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan keutamaan kepada keselamatan awam serta keseimbangan ekonomi penduduk di negeri ini.

“Berkenaan isu penutupan Bazar Ramadan di beberapa kawasan di negeri ini, kita perlu tegaskan bahawa orang ramai perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengelakkan sebarang masalah.

“(Dan) Sekiranya SOP gagal dipatuhi, sudah tentu pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang tegas,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Sementara itu, Tung Seang menjelaskan bahawa arahan penutupan Bazar Ramadan hanya tiga hari sahaja iaitu bermula 2 hingga 5 Mei 2021.

“Setelah tempoh itu tamat, para peniaga dibenarkan beroperasi seperti biasa dan mengamalkan SOP yang lebih ketat yang mana pihak MBPP juga akan membuat pemantauan yang ketat,” katanya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING