Rozali bentang ‘kad laporan’ 6 bulan sebagai YDP MPSP

SEBERANG JAYA – Seperti dijanjikan, Dato’ Sr. Rozali Mohamud membentangkan rekod hasil pentadbirannya dalam tempoh enam bulan, sejak dilantik sebagai Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 3 Julai tahun lepas.

“Pada 15 Januari lalu, genaplah 200 hari saya sebagai YDP MPSP, dan pada hari ini saya ingin membentangkan hasil pencapaian berdasarkan 12 keutamaan atau pelan tindakan yang telah dijanjikan.

“(Kad laporan) ini adalah menjadi kontrak sosial dengan warga Seberang Perai,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini 25 Januari lalu.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod serta barisan Ahli Majlis MPSP lain.

Rozali memberitahu, perasmian acara mandi hutan di Hutan Simpan Juru telah dilaksanakan pada 23 September 2017, manakala penanaman 3,000 pokok Tecoma secara serentak dan terbesar negara pula berjaya dilangsungkan pada 27 Ogos tahun lepas.

“Satu lagi keutamaan yang telah saya janjikan, iaitu kerja-kerja pemotongan rumput serta pembersihan longkang diperluaskan ke kampung-kampung, perjanjian saya dengan pelanggan Seberang Perai ini pun telah dimulakan pada 1 Januari lalu lagi,” jelasnya.

Satu lagi keutamaan yang berjaya dicapai, menurut Rozali, adalah pelaksanaan sisa 3 peratus per kapita penduduk Seberang Perai bagi tahun 2017 berjaya dikurangkan berbanding tahun sebelum itu.

“Sisa pada tahun 2017 adalah sebanyak 1.09 kilogram (kg) per kapita dengan penurunan sebanyak 0.08 kg berbanding tahun 2016 (iaitu sebanyak) 1.17 kg per kapita,” ujarnya.

Berikut adalah 12 keutamaan yang digariskan di bawah pentadbiran YDP MPSP hari ini: – Pemotongan rumput dan pembersihan longkang diperluaskan ke kampung.

– Pelaksanaan ‘Pocket Park’ merangkumi ‘Forest Bathing’ Bukit Juru dan Menanam 3,000 pokok Tecoma.

– Cadangan menaik taraf perbandaran kepada Bandar Raya Rendah Karbon Menjelang 2020 yang mana draf pelan tindakan siap pada bulan Disember 2017.

– Buku ‘Pelan Strategi Seberang Perai 2018-2022’ dan ‘Seberang Perai Corporate Priorities 2018’ siap pada bulan Disember tahun lepas dan dirasmikan pada 2 Januari lalu.

– Pelaksanaan sisa 3 peratus perkapita. – Pelaksanaan ‘Bike Friendly Community’ di Taman Merbau, Jalan Perda Barat dan Taman Belatuk.

– Bengkel upcycle untuk Local Economic Development (LED) telah dilaksanakan di Taman Alma Ria, Jing Sing Bagan Ajam, Pusat Sumber Alam Sekitar Permatang Nibong, GEMS Bandar Tasek Mutiara, Dewan Perkampungan Machang Bubuk, Autocity Juru dan Klinik Cure and Care Bukit Mertajam.

– Penganjuran SPICE 2018 dijadualkan pada 7 hingga 8 Oktober ini di Hotel The Light dengan tema ‘Promoting LED through Ecotourism’.

– Kempen Garis Panduan ‘car wash’, kedai jualan kereta dan ‘food truck’ diadakan dalam Program MPSP Mesra Pelanggan pada 25 Januari 2018 di Auditorium MPSP mulai 10 pagi hingga 12 tengah hari.

– Taklimat Garis Panduan Pemutihan ‘Kilang Haram’ di Auditorium MPSP pada 25 Januari 2018 mulai jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

– Garis Panduan Warisan telahpun diluluskan oleh Majlis Penuh pada 31 Julai 2017.

– Penggunaan IoT, Open Data, Cloud Computing dan GIS ke arah Bandar Pintar.

“Saya menggunakan pendekatan ‘report card’ untuk melaporkan pencapaian MPSP kepada komuniti Seberang Perai.

“Ini adalah sesuai dengan saranan YB Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) yang mahukan pengiktirafan atau anugerah rakyat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di samping anugerah pensijilan lain diiktiraf agensi luar lain,” katanya.