Garis panduan, lesen sementara pusat cuci kenderaan manual MPSP kuat kuasa 1 Februari

SEBERANG JAYA – Mulai 1 Februari 2017, Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa pentadbirannya melaksanakan Garis Panduan Permit Sementara Bagi Pusat Mencuci Kenderaan Secara Manual.

Langkah itu, katanya, mengambil kira kos tinggi yang akan dikenakan oleh perunding terhadap pengusaha terbabit bagi proses mengemukakan Pelan Bangunan dan Pelan Kebenaran Merancang berwajib.

“Pihak Majlis telah mengambil langkah proaktif bagi mengkaji dan mencari penyelesaian bagi memudahkan proses permohonan untuk mendapatkan kelulusan serta membolehkan operasi pusat mencuci kenderaan secara manual beroperasi sah,” jelasnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini 25 Januari lalu.

Kata Rozali, langkah progresif MPSP itu adalah berdasarkan Seksyen 19(2) Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam, UKBS 1986.

“(Berdasarkan seksyen ini), suatu permit sementara boleh dikeluarkan mengikut budi bicara pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendirikan sebuah bangunan sementara dan hendaklah tertakluk kepada semua atau sebahagian daripada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Jadual Pertama Undang- Undang Kecil ini,” katanya sambil menyatakan bahawa langkah MPSP berkaitan adalah mesra pelanggan Seberang Perai.

Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod serta barisan Ahli Majlis MPSP yang lain turut sertai sidang media tersebut.