Naik taraf jambatan Happy Valley siap awal demi kepentingan penduduk

AIR ITAM – Mengambil kira keperluan dan kemudahan penduduk sekitar, Kerajaan Negeri baru-baru ini meluluskan projek menaik taraf semula jambatan Happy Valley yang menghubungkan kawasan Farlim dan Lembah Ria di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berkata, kerja-kerja menaik taraf itu adalah membabitkan pembinaan semula jambatan sepanjang 15 meter dengan membesarkan laluan sedia ada daripada 3.5 meter (m) kepada 4m.

“Kos keseluruhan projek mencecah RM200,000 hasil peruntukan Kerajaan Negeri, dan kerja menaik taraf ini telah siap lebih awal daripada tarikh dijadualkan iaitu 23 Februari 2018 sebelum sambutan Tahun Baru Cina,” katanya pada Majlis Perasmian Jambatan Baru Happy Valley barubaru ini.

Menurut Hon Wai, jambatan berusia 50 tahun tersebut mengalami kerosakan teruk semasa banjir pada 15 September tahun lalu.

“Pembinaan jambatan baru ini akan menjadi laluan alternatif kepada pengguna Lebuhraya Thean Teik ke Bandar Baru Air Itam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” ujarnya.

Hadir sama, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Timur Laut, Nortilawati Osman. Di samping itu, Hon Wai turut memaklumkan bahawa kerja-kerja membaik pulih Sungai Dondang di Jambatan Thean Teik (bersebelahan Masjid Bandar Baru Air Itam) juga telah siap sepenuhnya.

“Semasa banjir besar yang berlaku pada 4 dan 5 November tahun lalu, bencana tersebut telah menyebabkan tebing sungai ini terhakis.

“Kerja-kerja pembaikan yang menelan belanja RM200,000 sumbangan peruntukan Kerajaan Negeri juga telah siap,” jelas beliau.