Salleh Man dilantik YDP MAINPP

Admin
MANSOR Othman (tengah) menunjukkan surat perkenan Agong melantik Mohd. Salleh Man (kanan sekali) serta Ahli-ahli Majlis MAINPP yang lain sambil diperhati Abdul Malik Abul Kassim di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (tengah) menunjukkan
surat perkenan Agong melantik Mohd. Salleh
Man (kanan sekali) serta Ahli-ahli Majlis
MAINPP yang lain sambil diperhati Abdul
Malik Abul Kassim di sini baru-baru ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong memperkenan untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkuatkuasa serta-merta sehingga 31 Disember 2013.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman semasa membuat pengumuman tersebut sekaligus dapat menghentikan kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang dicetuskan pihak pembangkang Pulau Pinang sejak penghujung tahun lepas.

“Sebelum ini, jawatan ini (YDP MAINPP) selalu dipolitikkan pihak tertentu dan sukacita menyebut bahawa kita (Kerajaan Negeri) telah menerima surat watikah daripada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong memperkenan senarai baru Ahli Majlis (MAINPP) yang disyorkan.

“Saya berharap, selepas pengumuman ini, isu YDP Majlis tidak akan dipolitikkan lagi,” ujar Mansor baru-baru ini di Komtar, di sini.

Abdul Malik selaku Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap bekas Yang Dipertua MAINPP. Sazali Husssein (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang, JHEANPP) dan Maktar Shapee (Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap) turut hadir dalam sidang media berkenaan.

Menurut Mansor, Maktar dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua bagi membantu Mohd. Salleh.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus, Faiza Zulkifli (Penasihat Undang-Undang Negeri), Datuk Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Negeri), Sohibus Samahah Datuk Seri Hassan Ahmad (Mufti Kerajaan Negeri) adalah empat dari lima Ex-Officio yang menganggotai majlis tersebut.

Mansor berkata, Kerajaan Negeri masih menunggu nama seorang lagi ex-officio bagi menggantikan bekas Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Ayob Yaacob yang berpindah tugas ke Bukit Aman baru-baru ini.

Tujuh dari lapan Ahli Majlis lain adalah Abdul Azizi @ Aziz Che Yaacob, Rosidi Hussain, Zainuddin Haniff, Dr. Wan Salim Mohd. Noor, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Noor Hayati Jaafar dan Dr. Danial Zainal Abidin.

Seorang lagi Ahli Majlis akan diumumkan kemudian bagi mengisi kekosongan bekas Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Yusof Musa yang berpindah tugas ke Kuala Lumpur.