‘Negara Sivil’ bawa kebebasan, demokrasi -Tariq Ramadan

Admin

GEORGE TOWNProfesor Tariq Ramadan baru-baru ini mengupas mengenai konsep ‘Negara Sivil’ pada satu forum anjuran Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) di sini.

Ahli akademik dari Universiti Oxford itu mengemukakan idea yang sederhana demikian semasa tanah air ini sedang menerima polemik istilah ‘Negara Islam’ sementara menunggu musim Pilihan Raya Umum Ke – 13.

Bagi cucu Hassan Al-Banna, iaitu pengasas gerakan Islam di Mesir bernama Ikhwanul Muslimin itu, Negara Islam dalam kerangka baru adalah ‘Negara Sivil’.

Negara Sivil menurutnya, adalah negara yang memberi jaminan kebebasan kepada rakyat serta kuasa kenegerian ditentukan oleh rakyat “dari bawah ke atas”.

“Sebahagian ulamak Islam seperti Sheikh Yusoff al-Qardhawi serta pemimpin utama (parti) an-Nahdaa pimpinan Rachid Ghannouchi telah bersedia menerima kebebasan dan prinsip demokrasi,” katanya beliau dalam forum Syarahan ‘Negara Madani: Idea dan Cabaran’ – Prof. Tariq Ramadan kendalian Dr. Ahmad Farouk (pengasas Islamic Renaissance Front, IRF ) di sini baru-baru ini.

 Beliau berkata, ‘Negara Sivil’ turut menjunjung tinggi nilai keadilan dalam masyarakat dan undang-undang negara.

Disebabkan itu, katanya, rakyat seharusnya tidak menyokong undang-undang yang zalim kerana undang-undang berkenaan lebih menjurus “dari atas ke bawah” serta menguntungkan pemerintah.

Malah katanya, tidak salah bagi pemimpin Islam belajar dari negara-negara sivil di Eropah kerana pentadbiran atau politik adalah perkara-perkara yang fleksibel (donni).

“Politik atau pentadbiran negara secara sivil adalah fleksibel, iaitu boleh menerima maslahah (kebaikan) walaupun datang dari Barat, ia (politik pentadbiran) dalam banyak hal tidak terikat pada sumber yang bersifat qat’i (mutlak) seperti al- Quran dan hadith,” ujar beliau sambil menyeru pemimpin Islam menghayati disiplin Maqasid asy- Syariah.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman turut menyampaikan ucapan pembukaan mewakili Kerajaan Negeri.