Salur sumbangan cegah kekejaman haiwan – ADUN

BUKIT MERTAJAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee menggesa lebih banyak syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini supaya tampil memberi penekanan terhadap usaha menyalurkan sumbangan kepada pihak yang ingin mencegah kekejaman terhadap binatang jalanan seperti anjing dan kucing.

Lip Chee berkata, pendekatan tersebut adalah selari dengan matlamat Society for The Prevention of Cruelty to Animals (SPCA) dalam membantu mengurangkan masalah berkaitan bagi membolehkan binatang-binatang jalanan menjalani ‘kehidupan’ yang lebih baik.

“Saya amat berbesar hati sekiranya lebih ramai individu, syarikat dan badan swasta mempunyai sikap prihatin untuk membantu pengurusan terhadap binatang-binatang ini,” jelasnya ketika menyaksikan penyerahkan sumbangan cek bernilai RM28,084.40 daripada syarikat Continental kepada SPCA di sini baru-baru ini.

Turut berlangsung, majlis penyampaian cek bernilai RM42,126.60 kepada Tabung Bangunan Persatuan Untuk Kanak-kanak Terencat Akal Seberang Perai Utara (PEKTAS), iaitu sebuah pertubuhan yang menyediakan pendidikan asas, kemahiran dan alat bantuan kebajikan kehidupan kepada kanakkanak cacat.

Hadir sama pada majlis berkaitan, wakil dari SPCA, Christina Liu Ting Ling, Pengerusi PEKTAS, Ng Mo Yong dan Pengarah Continental Cawangan Perai, Mohd. Akhir Hassan.

Mengulas lanjut, Lip Chee memberitahu, peningkatan bilangan anjing liar/jalanan di seluruh Seberang Perai kini adalah dipercayai berpunca daripada tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang telah menamatkan aktiviti pemandulan anjing pada Februari lalu.

“MPSP seharusnya duduk berbincang dengan Jabatan Kesihatan Veterinar bagi menangani isu ini terlebih dahulu,” tegas beliau.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Akhir, sumbangan yang diserahkan kepada kedua-dua pertubuhan terbabit merupakan hasil yang diperoleh menerusi penganjuran Karnival Amal Continental pada 8 Ogos lalu.

“Sumbangan ini adalah merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kami terutamanya kepada pihak-pihak yang memerlukan,” jelas beliau.

SPCA adalah sebuah NGO yang bertindak melindungi dan ‘meningkatkan’ kualiti hidup anjing liar atau jalanan di sini.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);