Sambutan Hari Jantung Sedunia 2019, tingkat kesedaran kepentingan penjagaan jantung

GEORGE TOWN – Inisiatif Gerakan Penang Sihat iaitu program pemeriksaan kesihatan secara besar-besaran ke seluruh daerah di Pulau Pinang akan dimulakan pada minggu hadapan, maklum Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Jelasnya, program tersebut dijalankan bertujuan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan untuk menjaga kesihatan khususnya kesihatan jantung, wanita, mental dan juga keluarga.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sambutan Hari Jantung Sedunia 2019 bertempat di Hospital Pulau Pinang pagi ini yang bertemakan ‘Be a Heart Hero, make a heart promise’.

“Di Pulau Pinang, kita (Kerajaan Negeri) mempunyai usaha yang banyak dalam menyedarkan masyarakat tentang kepentingan bukan hanya fokus kepada kesihatan jantung malah kesihatan organ lain.

“Dalam usaha untuk mencapai visi Penang2030, inisiatif gerakan Penang Sihat telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri akan pergi ke 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara besar-besaran bermula minggu hadapan,” ujarnya ketika merasmikan program berkaitan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Elizabeth Anthony dan Ketua Jabatan Kardiologi HPP, Dr. Muhamad Ali SK. Abdul Kader.

Mengulas lanjut, Afif memaklumkan pemeriksaan kesihatan tersebut akan dimulakan di kawasan Seberang Jaya dan diharapkan dengan adanya program sebegini dapat mewujudkan satu gelombang yang dapat menyedarkan masyarakat peri pentingnya menjaga kesihatan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memperuntukkan lebih daripada RM100 juta setiap tahun untuk perkhidmatan jantung dan turut menyediakan Tabung Bantuan Perubatan bagi pesakit jantung yang memerlukan pemasangan peralatan seperti Stent, Pacemaker dan lain-lain,” ujarnya.

Berucap pada majlis yang sama, beliau berharap berita-berita baik daripada Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng dalam pembentangan Bajet 2020 terhadap negeri Pulau Pinang khususnya keperluan kemudahan perkhidmatan kesihatan.

“Saya harap Menteri Kewangan dapat melihat sedikit keperluan kesihatan di Pulau Pinang dan umumkan keperluan-keperluan kesihatan yang perlu dibina baru atau dinaiktaraf agar perkhidmatan kesihatan baik dapat ditawarkan kepada rakyat di sini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Dalam perkembangan lain, Afif memberitahu, Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mengazetkan lima kawasan di Pulau Pinang sebagai kawasan ‘Pulau Pinang Bebas Asap Rokok’.

“Kita (Kerajaan Negeri) ingin menjadikan kawasan Batu Feringgi (Daerah Timur Laut) sebagai kawasan bebas asap rokok diikuti dengan Balik Pulau dan Bayan Baru (Daerah Barat Daya), Pekan Nibong Tebal, Bandar Baru Bertam (Seberang Perai Utara) dan Bandar Sunway Seberang Jaya (Seberang Perai Tengah).

“Saya harap usaha ini dapat menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama bebas asap rokok,” tambahnya lagi.

Oleh : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ALVIE CHENG