APA yang dianggap barang terbuang, di tangan warga kerja Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bertukar menjadi ‘jentera’ pembersihan yang unik apabila sebuah basikal terpakai diubah suai menjadi basikal kolam bagi mengutip sampah terapung di Upcycle Park dekat Bandar Perda.
Bukan sekadar basikal biasa, inovasi itu menggabungkan kira-kira 80 peratus bahan kitar semula, sekali gus membuktikan bahawa kreativiti mampu mengubah barangan yang tidak lagi digunakan menjadi penyelesaian praktikal untuk menangani cabaran pengurusan kebersihan.
Ketua Unit Upcycle MBSP, AZIZUL ABDUL RAHIM berkata, idea menghasilkan basikal berkenaan tercetus daripada keperluan untuk mencapai sampah yang berada di bahagian tengah kolam rekreasi berkenaan, yang mempunyai jarak kira-kira 400 hingga 500 meter.

“Kalau menggunakan kaedah manual, agak sukar untuk kita sampai ke bahagian tengah kolam.
“Jadi, kita fikir bagaimana untuk menghasilkan sesuatu yang boleh bergerak di atas air, mudah dikendalikan dan pada masa sama menggunakan bahan yang ada.
“Dari situ, kita gunakan konsep upcycle dan hasilkan basikal kolam ini bersama-sama tiga ahli pasukan yang lain,” katanya ketika ditemui dalam sesi wawancara berkaitan inovasi tersebut pada 17 September 2026.


Menurut Azizul, antara komponen utama yang digunakan ialah pelampung plastik yang diperoleh dari tapak pelupusan Ampang Jajar dan dibaik pulih sebelum digunakan semula.
Basikal terpakai pula diubah suai supaya boleh dikayuh ke hadapan dan mengundur, manakala tong drum dijadikan ruang meletakkan sampah serta peralatan selepas ditebuk bagi membolehkan air mengalir keluar.
Komponen daripada peralatan MBSP yang telah rosak turut dimanfaatkan sebagai struktur tambahan.
Dua minggu, tiga tenaga kerja
Menariknya, Azizul memberitahu bahawa inovasi tersebut dihasilkan dalam tempoh kira-kira dua minggu dengan penglibatan hanya sekitar tiga orang tenaga kerja, manakala kos penghasilannya pula rendah kerana sebahagian besar komponennya menggunakan bahan terpakai.
“Kos utama lebih kepada cat untuk kerja-kerja baik pulih dan mengecat semula komponen.
“Kebanyakan bahan kita dapatkan daripada barang yang sudah tidak digunakan,” katanya.



Dari segi operasi, beliau berkata, basikal berkenaan mampu mengutip sekitar 10 hingga 20 kilogram sampah bagi setiap pusingan penuh, bergantung kepada keadaan air dan jumlah sampah terapung.
Namun, pengendaliannya turut bergantung kepada keadaan arus dan kedalaman air, selain tali digunakan bagi membantu menarik basikal sekiranya diperlukan.
“Buat masa ini, inovasi tersebut digunakan di kolam Upcycle Park sahaja, manakala perancangan menghasilkan lebih banyak unit sedang dipertimbangkan,” ujarnya.
Azizul berkata, aspek keselamatan turut menjadi keutamaan apabila petugas diwajibkan memakai vest keselamatan ketika mengendalikan basikal tersebut.
Pada masa sama, komponen yang terdedah kepada air memerlukan penyelenggaraan berkala bagi menangani risiko karat dan kerosakan.
Upcycle bukan sekadar konsep
Menurutnya, penghasilan basikal kolam itu turut mendapat sokongan pihak berkuasa tempatan termasuk Datuk Bandar MBSP dan Pengarah Perkhidmatan Perbandaran.
“Upcycle Park ini merupakan upcycle park pertama di Malaysia dan turut tersenarai dalam Malaysia Book of Records.
“Jadi, kita mahu konsep upcycle ini bukan hanya dilihat sebagai konsep, tetapi benar-benar digunakan dalam operasi.
“Barang yang sudah tidak digunakan boleh kita fikirkan semula bagaimana untuk beri fungsi baharu.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran, malah membantu pasukan ‘Wira Oren’ menjalankan kerja pembersihan dengan lebih cekap,” katanya.
Lebih daripada sekadar sebuah basikal yang terapung di permukaan kolam, inovasi tersebut membawa mesej bahawa barang terbuang tidak semestinya berakhir sebagai sampah.
Dengan sedikit kreativiti, kemahiran dan keberanian mencuba, bahan lama boleh diberi nafas baharu, daripada barang terbuang, menjadi alat yang membantu menjaga kebersihan ruang rekreasi untuk manfaat masyarakat.


Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD