BERMULA dengan minat terhadap pertanian dan pengalaman mengusahakan tanaman herba, siapa sangka langkah kecil seorang anak kampung akhirnya berkembang menjadi sebuah perniagaan yang merentas rantaian industri.
Itulah perjalanan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas HERBagus Trading dan Natural Superfood Sdn. Bhd., AZUKI TAHIR, yang sejak lebih 16 tahun lalu konsisten membangunkan potensi herba tempatan berasaskan pendekatan saintifik.
Bagi Azuki, 59, herba bukan sekadar tanaman untuk dijual, sebaliknya mempunyai potensi besar untuk dibangunkan menjadi produk bernilai tinggi, termasuk produk kesihatan dan ubat-ubatan melalui kajian saintifik yang sistematik.
Sehubungan itu, beliau mengambil langkah berani dan bijaksana dengan menggabungkan pertanian, sains, teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan industri dalam satu rantaian perniagaan.

“Saya bermula dengan pertanian dan mula mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2006 dan mula berniaga secara serius sekitar 2008.
“Daripada menanam dan membekalkan bahan mentah, kita mula masuk ke R&D, pemprosesan dan akhirnya komersialisasi,” katanya dalam wawancara khs bersama penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, MUHAMAD IQBAL HAMDAN di premis perniagaanya dekat Bertam baru-baru ini.
Dari kebun kepada makmal
Perjalanan perniagaan Azuki bermula dengan penanaman dan pembekalan bahan mentah yang diusahakan di atas tanah milik MARDI Seberang Perai Utara.
Namun, beliau tidak mahu kekal sebagai pengeluar bahan mentah semata-mata.
Sebaliknya, pengalaman dan latar belakang dalam bidang kejuruteraan mendorongnya melihat ruang lebih besar dalam industri herba, khususnya bagaimana bahan mentah tempatan boleh diproses dan dibangunkan menjadi produk bernilai tambah.
Daripada situ, operasi perniagaannya berkembang kepada aktiviti pemprosesan primer dan sekunder menerusi penubuhan beberapa entiti perniagaan, termasuk Natural Superfood.
Hari ini, syarikat berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya dua tapak pemprosesan, termasuk fasiliti di Perda Halal Park, Kubang Menerong dekat Tasek Gelugor.
Transformasi tersebut memperlihatkan perubahan daripada model perniagaan berasaskan tanaman kepada pendekatan integrasi menegak (vertical integration), merangkumi pengeluaran bahan mentah, ekstraksi, pembangunan produk, pemprosesan dan pembekalan kepada pasaran.


Universiti menjadi rakan strategik
Antara kekuatan utama yang membentuk perjalanan Azuki ialah keberanian untuk membawa industri herba keluar daripada pendekatan tradisional dan masuk ke dunia penyelidikan.
Beliau menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi, antaranya Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
USM, khususnya fakulti berkaitan farmasi, menjadi antara rakan utama dalam usaha membangunkan produk herba ke tahap yang lebih tinggi.
Pelbagai projek R&D dijalankan sejak sekitar 2014 hingga 2020 dan diteruskan sehingga kini, termasuk kajian berkaitan moringa, roselle, pecah beling, hempedu bumi dan banyak lagi.
Kajian moringa misalnya memberi tumpuan kepada potensi penggunaannya dalam bidang diabetes dan gout, manakala roselle dikaji berkaitan hipertensi dan kesihatan jantung.
Kajian turut melibatkan ujian terhadap model haiwan serta penelitian terhadap bahan aktif yang terkandung dalam tumbuhan berkenaan.
Sebahagian projek tersebut mendapat pembiayaan atau peruntukan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, manakala hasil penyelidikan tertentu diserahkan kepada pihak universiti untuk dikembangkan ke peringkat kajian klinikal.
“Kalau kita mahu kata sesuatu herba itu boleh menjadi ubat, kita kena ada sains dan bukan sekadar viral atau berdasarkan testimoni.
“Kita kena buat kajian makmal, praklinikal dan seterusnya kajian klinikal,” tegasnya.
Pendekatan itu turut menyaksikan sebahagian produk atau hasil penyelidikan dipatenkan melalui kerjasama dengan universiti.
Lebih 100 jenis herba
Hari ini, Azuki mengendalikan lebih 100 jenis herba mentah dan mempunyai lebih 30 produk siap, dengan sebahagian besarnya dalam kategori teh dan makanan semula jadi.
Antara bahan dan produk yang dibangunkan termasuk moringa dalam bentuk serbuk serta produk kesihatan, Sacha Inchi dalam bentuk softgel, misai kucing hempedu bumi, stevia, teh, kopi dan produk berasaskan matcha.
Hempedu bumi pula antara bahan yang dikaji bersama UPM berkaitan potensi dalam aspek memori dan demensia.
Selain produk berasaskan herba, syarikat turut meneroka pelbagai kategori baharu sebagai sebahagian daripada usaha memperluas rangkaian produk dan membina jenama sendiri.
Dalam masa sama, syarikat turut mempunyai kapasiti membekalkan bahan mentah dalam jumlah besar, termasuk pada skala tan.
Keupayaan tersebut membuka ruang kepada syarikat untuk bertindak sebagai pembekal bahan mentah kepada syarikat-syarikat besar selain menghasilkan produk secara original equipment manufacturing (OEM).


Tembusi pasaran luar
Potensi bahan mentah tempatan turut dibuktikan menerusi pasaran eksport.
Antara bahan yang mendapat permintaan dari luar negara ialah misai kucing yang dibekalkan dalam bentuk telah dikisar ke pasaran Korea dan Jepun.
Menurut Azuki, terdapat permintaan tetap dari Korea sehingga kira-kira satu tan daun misai kucing sebulan.
Namun, permintaan tinggi juga membawa cabaran baharu iaitu bekalan bahan mentah perlu dipastikan mencukupi, konsisten dan memenuhi standard kualiti.
“Apabila produk kita viral, permintaan boleh naik mendadak, tetapi masalahnya, bahan mentah pula tidak cukup.
“Sebab itu kita perlu pastikan rantaian bekalan dari ladang sampai ke kilang benar-benar kukuh,” katanya.
Pertanian pintar perkasa pekebun
Bagi menangani isu tersebut, Azuki mengembangkan konsep satellite farming iaitu membuka peluang kepada penduduk kampung dan pekebun tempatan untuk menanam tanaman yang diperlukan syarikat.
Konsep tersebut bukan sahaja membantu memastikan bekalan bahan mentah lebih terkawal, malah memberi peluang kepada masyarakat setempat menjana pendapatan melalui aktiviti pertanian.
Syarikat turut mempunyai rangkaian pembekal tempatan bagi tanaman seperti serai, limau purut, roselle dan pelbagai herba lain.
Pada masa sama, Azuki sedang meneroka penggunaan precision farming dan teknologi pertanian pintar dengan memanfaatkan automasi serta sistem kawalan yang boleh dipantau melalui telefon.
Pendekatan itu diyakini mampu meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi dan memastikan pengeluaran dapat dirancang berdasarkan permintaan pasaran.
Beliau turut merancang mendapatkan pembiayaan melalui Agrobank bagi penyediaan peralatan pertanian serta membantu pekebun dan petani dengan keperluan modal, termasuk anggaran antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi projek tertentu.
Cabaran terbesar
Walaupun mempunyai pengalaman, rangkaian akademik serta kapasiti pengeluaran, Azuki mengakui perjalanan untuk membawa produk herba ke peringkat lebih tinggi bukan mudah.
Antara cabaran utama ialah kekangan aliran tunai, khususnya untuk membiayai ujian saintifik pada peringkat praklinikal dan klinikal.
Kos satu ujian GLP (Good Laboratory Practice) misalnya boleh mencecah sekitar RM200,000, manakala projek penyelidikan lengkap sehingga ke tahap tertentu boleh memerlukan kos kira-kira RM7 juta.
“R&D ini bukan murah, apabila sudah sampai tahap praklinikal dan klinikal, kosnya sangat tinggi.
“Jadi kita perlukan pembiayaan dan kerjasama yang lebih besar untuk membawa hasil kajian ke peringkat komersial,” katanya.
Selain dana, pemasaran digital turut menjadi cabaran.
Ironinya, walaupun syarikat mempunyai keupayaan menghasilkan pelbagai produk, sebahagian besar produknya masih berada di bawah jenama pelanggan melalui model OEM.
Produk berjenama sendiri pula masih belum mencapai penembusan pasaran pengguna yang diharapkan kerana kekurangan pasukan pemasaran dan kekuatan dalam platform digital seperti TikTok serta Shopee.
Bukan sekadar mengejar viral
Dalam era pemasaran digital yang menyaksikan produk kesihatan mudah menjadi tular, Azuki memilih pendekatan berbeza.
Baginya, populariti bukan ukuran utama.
Sebaliknya, asas saintifik, keselamatan, keberkesanan, kawalan kualiti dan pematuhan perlu menjadi tunjang pembangunan sesuatu produk.
Pengalaman beliau turut membawa kepada penglibatan dalam beberapa platform berkaitan industri.
Azuki pernah terlibat sebagai panel Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam penyediaan monograf herba selain menjadi pakar teknikal (TAC) kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam penyediaan silibus serta semakan soalan peperiksaan berkaitan agro dan pertanian.
Beliau juga aktif menyertai persidangan, ekspo antarabangsa dan program berkaitan penyelidikan serta inovasi termasuk Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA), Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dan lain-lain.


Membina jenama sendiri
Walaupun sebahagian besar kekuatan syarikat kini berada dalam bidang OEM dan pembekalan bahan mentah, Azuki mempunyai visi lebih besar.
Dalam tempoh tiga hingga 10 tahun akan datang, beliau mahu membina jenama sendiri dengan rangkaian produk yang lebih kukuh, sebelum berkembang kepada konsep kiosk, kedai, kafe dan francais.
Antara model yang dibayangkan ialah konsep kedai seperti OldTown Coffee yang menggabungkan produk, minuman dan pengalaman pengguna di bawah satu jenama.
“Selama ini kita banyak bantu orang lain buat produk, tetapi sekarang kita mahu bina jenama sendiri.
“Kita sudah ada produk dan kepakaran, apa yang kita perlukan ialah pasukan pemasaran dan dana untuk scaling,” katanya.
Anak kampung yang memilih untuk terus mencuba
Di sebalik perjalanan membangunkan industri herba itu, Azuki tidak pernah melupakan titik permulaannya.
Dilahirkan di Tanah Merah dan dibesarkan Kampung Slow Mengkuang, Manek Urai, Kelantan, beliau sudah mula berniaga secara kecil-kecilan sejak di bangku sekolah sebagai usaha untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Peluang melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Catholic University of America melalui biasiswa atau tajaan kerajaan membuka lembaran baharu dalam kehidupannya.
Beliau kemudiannya berkhidmat selama dua tahun dalam industri semikonduktor dan 21 tahun bersama Seagate Technology, termasuk terlibat dalam bidang R&D dan pembangunan produk.
Pengalaman dalam kejuruteraan, ditambah pula dengan penglibatan dalam sektor pertanian, akhirnya mempertemukan dua dunia yang jarang digabungkan teknologi dan herba.
Hari ini, perjalanan tersebut diteruskan bukan sekadar untuk membina sebuah syarikat, tetapi untuk mewujudkan ekosistem herba yang lebih lengkap; daripada petani, bahan mentah dan teknologi pertanian, kepada makmal, kilang, produk dan pasaran antarabangsa.
Dari Pulau Pinang ke dunia

Bagi Azuki, masa depan industri herba tempatan tidak seharusnya berhenti pada penjualan daun, akar atau serbuk.
Nilai sebenar terletak pada kemampuan mengubah bahan mentah menjadi produk bernilai tinggi yang disokong bukti saintifik dan mampu bersaing di peringkat global.
Dengan lebih 100 jenis herba, rangkaian kerjasama universiti, fasiliti pemprosesan serta pengalaman dalam pembekalan dan OEM, asas itu sudah tersedia.
Apa yang diperlukan kini ialah sokongan pembiayaan, pengukuhan rantaian bekalan, pembangunan bakat dan strategi pemasaran yang lebih agresif.
Daripada seorang anak kampung yang bermula dengan perniagaan kecil-kecilan, Azuki kini berdiri di persimpangan antara pertanian, sains, teknologi dan industri.
Di situlah beliau melihat masa depan bukan sekadar menjual herba, tetapi membawa khazanah alam tempatan dari tanah, ke makmal dan akhirnya ke pasaran dunia.