Santuni pesakit di Hospital Pulau Pinang sempena Deepavali

Admin

GEORGE TOWN – Sempena perayaan Deepavali yang bakal menjelang, Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang dan Pertubuhan Malaysia Hindudharma Mamandram (MHM) tidak ketinggalan menyantuni para pesakit dan staf di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo ketika ditemui berkata, beliau amat gembira dengan keprihatinan Yayasan Amal TYT dan Pertubuhan MHM.

“Diharapkan program berkebajikan sebegini diperbanyakkan lagi pada masa hadapan untuk setiap perayaan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu hadir sebagai tetamu kehormat bagi menyampaikan sumbangan yang telah menjadi acara tahunan Pertubuhan MHM.

“Ini merupakan tahun ketiga Pertubuhan MHM mengadakan acara penyerahan beg cenderamata sempena sambutan perayaan Deepavali sebagai tanda mencakna kebajikan penganut agama Hindu.

“Tahun ini, sebanyak 800 beg cenderamata diagihkan kepada pesakit dan staf HPP di sini,” ujar Sundarajoo yang turut memberikan sumbangan peribadi sempena sesi penyerahan cenderamata di sini.

ROZALI dan Sundarajoo semasa sesi sidang media awal pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud; Pengerusi Pertubuhan MHM, N. Thanabalan dan wakil pegawai perubatan HPP.

Difahamkan, Sundarajoo meluangkan masa menyantuni pesakit di wad ortopedik lelaki serta beramah mesra bersama-sama petugas di wad berkenaan.

Dalam pada itu, Rozali yang ditemui mengalu-alukan jalinan kerjasama yang utuh dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Ini merupakan kali pertama Yayasan Amal TYT bekerjasama dengan Pertubuhan MHM bagi program penyerahan sumbangan melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM12,000 keseluruhannya.

“Diharapkan sokongan dan kerjasama yang padu seperti ini dapat dijalinkan bersama-sama semua pihak dalam menyalurkan bantuan terhadap golongan yang lebih memerlukan,” jelasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN