Ironman, semua boleh dilakukan dengan tekad jitu

SELEPAS berjaya mengharumkan nama negara, dua anak jati Pulau Pinang, LEE WEI CHERN, 52, dan FELIX TAN KOK PENG 56, mencabar diri menyertai acara VinFast IRONMAN World Championship dekat Nice, Perancis pada September lalu.

Ironman merupakan acara terbesar sukan yang melibatkan siri perlumbaan triatlon jarak jauh yang dianjurkan oleh World Triathlon Corporation (WTC), yang terdiri daripada tiga sukan iaitu berenang 3.9 kilometer (km), berbasikal (180.2 km) dan larian maraton (42.2 km).

Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL bersama-sama jurugambar, SITI NURATIKAH RAHMAT berkesempatan menemu bual kedua-dua atlet berkaitan untuk mengetahui matlamat penyertaan mereka dalam acara tersebut.

DARI kiri, Felix Tan Kok Peng dan Lee Wei Chern.

Menurut Wei Chern, menyertai acara Ironman bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan seseorang individu itu membuat persediaan yang rapi sama ada dari segi mental mahupun fizikal.

“Acara (Ironman) ini diadakan setiap minggu di seluruh dunia dan setiap perlumbaan kebiasaannya mempunyai slot yang khusus untuk pelbagai peringkat umur serta membuka peluang kelayakan untuk kejohanan dunia.

“Bagi melayakkan diri ke acara ini, peserta wajib bertanding dalam acara (Ironman) bagi tempoh 12  bulan sebelum itu, tidak kira penyertaan dari mana-mana negara… sebagai contoh saya dan Kok Peng menyertai acara (Ironman) yang berlangsung di Pulau Langkawi.

“Dalam pada itu, acara ini menuntut stamina, ketabahan dan ketahanan yang tinggi, jadi bukan mudah untuk menjadi antara salah seorang peserta kerana sesungguhnya ia sangat mencabar.

“Saya masih lagi ingat acara berbasikal yang mana jaraknya bersamaan dengan pemanduan dari Pulau Pinang ke Ipoh sejauh 180 km, ketinggian pula mencecah 2,400 meter (m),” ujarnya pada sesi wawancara eksklusif pada 22 September baru-baru ini.

Felix Tan dan Lee Wei Chern bergambar bersama pingat yang diterima.

 

Bagi Kok Peng, prestasi beliau ketika menyertai acara berkaitan agak lemah dek tempoh persediaan diberikan agak singkat.

“Saya hanya sempat membuat latihan persediaan selama dua bulan sahaja tetapi biasanya latihan memerlukan tempoh selama enam bulan, akan tetapi dek memikirkan peluang yang diberikan bukan selalunya dapat, saya gagahi juga.

“Bak kata Wei Chern, kali ini kategori berbasikal sangat mencabar kerana ketinggian dan cuaca yang panas untuk mendaki, tetapi apabila sudah sampai ke puncak pergunungan ia sangat cantik, disebabkan itu saya tidak menyesal sertai acara ini.

“Malah, saya tidak menetapkan sebarang sasaran untuk untuk menang dan bersaing, peluang ini digunakan untuk saya menonjolkan sisi yang terbaik dalam diri secara peribadi,” jelasnya yang telah menyertai lapan acara Ironman di serata negara setakat ini.

ANTARA acara yang perlu disertai untuk menghabiskan cabaran Ironman.

Sementara itu, Wei Chern turut berkongsi persediaan beliau untuk menyertai acara Ironman yang sangat menuntut beliau untuk kekal fokus dan mengubah rutin harian.

“Dari aspek persediaan, rutin harian sedikit terganggu dek perlu fokus berlatih untuk menempuh perlumbaan, kebanyakan masa terluang hanya diisi dengan berlatih sehingga tiada waktu untuk bersosial.

“Justeru, saya hanya menyertai acara ini apabila berkelapangan sahaja kerana terikat dengan kerja dan komitmen hidup, sukar untuk mengagih masa jika jadual sangat padat.

“Di samping itu, acara ini telah menjadi sebahagian daripada matlamat hidup kami serta memberi galakan dalam mengekalkan disiplin diri dan menjalani kehidupan yang sihat,” katanya yang menggambarkan acara ini sebagai sumber inspirasi untuk kekal bersukan.

ANTARA yang turut mewakili negeri Pulau Pinang ke acara Ironman pada September lalu.

Mengakhiri sesi wawancara, Kok Peng turut menekankan bahawa semuanya boleh dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai tekad yang jitu.

“Bagi saya, segalanya tidak mustahil dan boleh dilakukan apabila kita komited melaksanakannya dan kita hanya perlu menikmati setiap peluang yang ada.

“Jadikan setiap senaman atau latihan yang kita jalani sebagai satu rutin dan mulakan secara berperingkat tetapi jangan terlalu memberi tekanan pada badan.

“Buktinya kami berdua sudah berusia tetapi mampu untuk mencabar diri dan memperoleh pencapaian yang membanggakan,” serunya.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT