Saring kesihatan di 9 lokasi sempena Hari Diabetes Sedunia

Admin

GEORGE TOWN – Sempena Hari Diabetes Sedunia tahun ini, Lions Club of Georgetown City bersama-sama gabungan 15 Lions Club lain menganjurkan program saringan kesihatan dan Kempen Kesedaran Diabetes bermula pada 22 Oktober sehingga 10 Disember 2023.

 

Sebanyak sembilan lokasi dipilih untuk penganjuran program saringan kesihatan tersebut dengan kerjasama dan sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

GOOI Zi Sen pada sidang media di Komtar.

Exco Kesihatan, Gooi Zi Sen berkata, penganjuran program oleh Lions Club ini sedikit sebanyak membantu menyebar luas kesedaran tentang pencegahan serta cara-cara menguruskan risiko diabetes dalam kalangan umum.

 

“Selalu kita tekankan bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat, dalam apa jua keadaan pun kaedah paling berkesan adalah mencegah dan mengawal.

 

“Jika dilihat kini, penyakit diabetes kini bukan hanya dihidapi oleh golongan berusia atau warga emas tetapi juga mereka yang masih muda.

 

“Malah, jumlah pesakit diabetes juga meningkat saban tahun dan situasi ini sebenarnya amat membimbangkan, tambahan pula terdapat trend di media sosial yang menggalakkan pengambilan minuman manis dengan tanda pagar tertentu.

 

“Sedangkan kita sedar dan tahu antara komplikasi penyakit diabetes adalah masalah penglihatan seperti katarak dan glaukoma juga penyakit buah pinggang yang kronik sehingga memerlukan dialisis.

 

“Oleh hal yang demikian, saya memuji usaha yang dilakukan oleh Lions Club bersama-sama rakan strategik dengan menganjurkan program seumpama ini saban tahun,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar sebentar tadi.

 

Selain pemeriksaan kesihatan, Zi Sen turut berharap lebih ramai rakyat Pulau Pinang khasnya mengamalkan gaya hidup sihat.

 

“Saya harap dengan usaha yang berterusan seperti ini akan melahirkan rakyat yang mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan seharian, melakukan senaman, mengawal stres dan mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

 

“(Dan) sebagai menzahirkan sokongan Kerajaan Negeri terhadap Kempen Kesedaran Diabetes, pada bulan November nanti bangunan Komtar akan diterangi dengan cahaya berwarna biru.

 

“Orang ramai yang ingin turut serta dalam kempen ini juga boleh memakai riben berwarna biru sebagai tanda sokongan,” katanya.

GOOI Zi Sen (tengah) menyaksikan pertukaran cenderamata antara penganjur dan rakan strategik.

 

Pada sidang media sama, Zi Sen yang juga Exco Belia dan Sukan menyaksikan empat perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani antara Lions Club of Georgetown City dan rakan strategik.

 

Mereka terdiri daripada Pfizer (M) Sdn. Bhd.; Persatuan Farmasi Malaysia; Mega Kulim Pharmacy Sdn. Bhd. dan Chan May May Optometrist Sdn. Bhd..

 

Difahamkan, selain saringan glukosa dan kolesterol turut diadakan adalah sesi kaunseling serta pemeriksaan tekanan darah, katarak dan pendengaran. 

 

Manakala dua lokasi iaitu di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Kebun Bunga dan Batu Lancang akan diadakan juga diagnostik perubatan Cina, akupuntur dan urutan tradisional.

 

Berikut adalah senarai sembilan lokasi penganjuran program:

 

  1. Japanese Garden, Lintang Mas (KADUN Seri Delima) – 22 Oktober 2023
  2. Dewan Noordin Street (KADUN Pengkalan Kota) – 18 November 2023
  3. *Lokasi akan dimaklumkan kelak (KADUN Batu Maung) – 19 November 2023
  4. *Lokasi akan dimaklumkan kelak  – 25 November 2023
  5. Tokong Tow Boo Keong, Bukit Mertajam – 26 November 2023
  6. Pasar Awam Padang Tembak (KADUN Kebun Bunga) – 2 Disember 2023
  7. Dewan Orang Ramai Batu Lancang (KADUN Batu Lancang) – 3 Disember 2023
  8. *Lokasi akan dimaklumkan kelak – 9 Disember 2023
  9. Taman Thambi Kecil, Raja Uda (KADUN Sungai Puyu) – 10 Disember 2023

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD