Sasar 1,500 Larian Menara MPSP

Admin

Oleh: ZAINULFA QAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Larian Menara MPSP 2014 sejauh 7 kilometer serta memanjat 412 anak tangga yang bakal dilangsungkan pada 24 Ogos depan seawal 5.30 pagi mensasarkan 1,500 penyertaan termasuk pelari antarabangsa.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, sebanyak RM5,400 wang tunai ditawarkan untuk kesemua enam kategori yang dipertandingkan iaitu Kanak-kanak Lelaki, Kanak-kanak Perempuan, Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita.

“Kita berjaya (menerima penyertaan) 738 pelari pada tahun lepas. Kejohanan pada tahun ini akan dibuka kepada pelari antarabangsa juga supaya penganjuran acara tahunan kita (MPSP) ini pada suatu hari nanti akan menjadi program peringkat antarabangsa,” ujarnya di Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta tiga Ahli Majlis bagi MPSP, Tan Cheong Eng, Rezal Huzairi Md. Zaki dan Ahmad Kaswan Kassim turut menyertai sidang media itu.

Yuran penyertaan untuk semua kategori adalah antara RM15 hingga RM25 dan kadar percuma khusus untuk wartawan.

Menurut Maimunah, La Vintage Event Sdn. Bhd. selaku wakil penganjur akan membuat jelajah pendaftaran khas dekat sebelah pulau, iaitu di Lebuh Arminean dan Lebuh Pantai sebagaimana jadual yang dipaparkan dalam laman facebook, Penang MPSP Tower Run.

Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 3 Ogos iaitu sebelum jam 12 tengah hari.

Semua peserta boleh mengambil baju larian pada 16 dan 17 Ogos di lobi Kompleks Ibu Pejabat MPSP di sini mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

Info lanjut, hubungi penganjur di talian 011 – 1070 8938 atau 012 – 440 1398.