Sasar P. Pinang jadi ‘negeri hijau pertama negara’ sebelum 2020

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG LALANG – Sekurang-kurangnya kadar kitar semula negeri mesti melebihi 40 peratus untuk melayakkan Pulau Pinang dikenali sebagai ‘negeri hijau pertama negara’ sebelum tahun 2020.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, 32 peratus kadar kitar semula negeri ketika ini masih tertinggi di Malaysia, berbanding 10.5 peratus kadar kitar semula kebangsaan.

“Kerajaan Negeri hanya mahu menjadi negeri hijau pertama di Malaysia sebelum tahun 2020,” jelasnya pada Majlis Pelancaran Amalan Pengasingan Sisa Di Punca Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang di Taman Rekreasi PBAPP Bukit D.O. di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, komuniti penduduk juga wajar mencari jalan untuk mengurangkan penjanaan sampah.

Tambah beliau, peruntukan untuk kerjakerja pembersihan MPSP mampu dijimatkan hampir RM4 juta pada tahun ini, sekiranya penjanaan sampah harian seberat 1,100 tan berjaya dikurangkan 50 peratus tiap-tiap hari, mulai bulan Mei hingga 31 Disember tahun ini.

“Selain meningkatkan peratusan kadar kitar semula, bantulah Kerajaan Negeri mengurangkan penjanaan sampah.

“Kalau kadar kitar semula sampah naik sehingga 70 peratus pun, pada masa sama jumlah penjanaan sampah juga naik, maka tiada maknanya,” ujarnya.

Tambah Maimunah, Pulau Pinang mesti bersaing dengan negara-negara maju lain, seperti Jepun dengan kadar kitar semula setinggi 77 peratus, Singapura (60 peratus) dan Korea (49 peratus).

“Di Jepun, hanya 3.4 peratus sahaja peruntukan perbandarannya untuk urus sampah, kita (Bajet MPSP 2016) sampai 32 peratus untuk urus sampah sahaja,” jelasnya.

Dasar Pengasingan Sisa Di Punca mula dikuatkuasakan di seluruh negeri ini sejak 1 Jun lalu.}