Contohi Copenhagen, perbandaran mesra alam

GEORGE TOWN – Seperti Copenhagen Denmark, rancangan perbandaran masa depan Pulau Pinang pun sepatutnya lebih menggalakkan rakyat bergerak berbanding kenderaan.

Atas maksud itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri melalui Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) berhasrat memperbanyakkan mod pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT), monorel dan sistem bas rapid transit (BRT).

“Pulau Pinang memerlukan pemikiran yang baharu, antaranya untuk menggerakkan rakyat, dan bukan lagi untuk menggerakkan kenderaan (peribadi di jalan raya).

“Pada masa sama, kita (Kerajaan Negeri) wajar memberi ruang awam yang lebih bebas kepada rakyat, bukan lagi kenderaan.

“Langkah yang paling efektif, antaranya adalah menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih selesa daripada menggunakan kenderaan sendiri,” jelasnya pada Persidangan Antarabangsa Solusi Copenhagen Untuk Kemampanan Bandar di sini barubaru ini.

Turut berucap, Duta Denmark, Nicolai Ruge serta dua perwakilan lain dari negara tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus serta Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Menurut Guan Eng, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan polisi menjaga alam sekitar secara bersepadu, membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT), pelabur, sekolah-sekolah dan sektor swasta.

”Hari Tanpa Beg Plastik, Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, amalan sisa sifar, penubuhan Penang Green Council (PGC), ‘Hari Sabtu Tanpa Kereta’, mewujudkan laluan berbasikal terpanjang negara, projek tanam pokok teduh dan program kebun kejiranan merupakan antara inisiatif yang Kerajaan Negeri hari ini lakukan sejak tahun 2008,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut memuji ‘perbandaran hijau’ Copenhagen yang berjaya menggerakkan 67 peratus pengguna jalan raya menggunakan basikal.if (document.currentScript) {